am@hmetro.com.my
Seremban: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengakui kadangkala pemandunya terpaksa melanggar lampu isyarat merah bagi memastikan beliau tiba di lokasi acara rasmi tepat pada waktunya.
Beliau berkata, jadual hariannya yang padat dengan pelbagai program sehari menyebabkan pemandunya perlu mengejar masa.
“Saya akui kadangkala terpaksa melanggar lampu merah kerana perlu cepat sampai dan terdapat beberapa acara rasmi yang dirancang dalam sehari.
“Boleh tengok di Facebook saya, berapa program yang saya hadir dalam sehari,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO di Wisma Negeri di sini, hari ini.
Beliau mengulas satu video yang tular di media sosial berhubung kenderaan rasmi Menteri Besar yang melanggar lampu isyarat merah di bandar ini dengan keterangan ‘kereta siapa yang kebal sangat melanggar lampu isyarat dan membunyikan siren polis’.
Aminuddin menjelaskan terdapat seorang pegawai polis dalam kenderaannya.
Menurutnya, pejabatnya juga telah menulis surat kepada pihak berkuasa berkaitan untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan.
“Kita terpaksa langgar (lampu isyarat merah), tetapi dalam keadaan berhati-hati dan menggunakan isyarat yang cukup kerana hendak segera sampai di lokasi.
“Saya minta maaflah, kalau tidak saya pun tak berani langgar. Biasanya pemimpin negeri diberi kelonggaran untuk hal atau perkara tertentu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




