Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memohon maaf dan mengakui kadangkala pemandunya terpaksa melanggar lampu isyarat merah bagi memastikan beliau tiba tepat pada waktunya untuk menghadiri acara rasmi.

MB. Negeri Sembilan akui terpaksa, jadual harian terlalu padat
Memetik laporan daripada Berita Harian, beliau menyatakan jadual hariannya yang padat dengan pelbagai program sehari menyebabkan pemandunya perlu mengejar masa.
“Saya akui kadangkala terpaksa melanggar lampu merah kerana perlu cepat sampai dan terdapat beberapa acara rasmi yang dirancang dalam sehari.
“Boleh tengok di Facebook saya, berapa program yang saya hadir dalam sehari,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Artikel lain: MB Negeri Sembilan jawab isu lawatan ke luar negara -“Tak puas hati, buat aduan SPRM”
Kenderaan MB. Negeri Sembilan tular di media sosial
Perkara tersebut dinyatakan beliau sewaktu mengulas satu video yang tular di media sosial berhubung kenderaan rasmi Menteri Besar yang melanggar lampu isyarat merah di bandar ini dengan keterangan “kereta siapa yang kebal sangat melanggar lampu isyarat dan membunyikan siren polis”.
Aminuddin menjelaskan terdapat seorang pegawai polis dalam kenderaannya, dan pejabatnya juga sudah menulis surat kepada pihak berkuasa berkaitan untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan.
“Kita terpaksa langgar (lampu isyarat merah), tetapi dalam keadaan berhati-hati dan menggunakan isyarat yang cukup kerana hendak segera sampai ke lokasi.
Saya minta maaf, kalau tidak saya pun tak berani langgar.
Biasanya pemimpin negeri diberi kelonggaran untuk hal atau perkara tertentu,” katanya.

Sumber: Berita Harian ( Mohd Amin Jalil)




