MB sahkan terima surat Pesuruhjaya Pas calonkan tiga ADUN isi jawatan Penyelaras DUN

MB sahkan terima surat Pesuruhjaya Pas calonkan tiga ADUN isi jawatan Penyelaras DUN

KANGAR: Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah mengesahkan ada menerima surat permohonan
daripada Pesuruhjaya Pas negeri, Ahmad Ali yang mencalonkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pas untuk jawatan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) di kerusi yang berlaku kekosongan.

Abu Bakar berkata, surat dari Pesuruhjaya Pas negeri atas nama Badan Perhubungan parti itu
mencalonkan ADUN Sanglang yang juga bekas Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli sebagai Penyelaras DUN Guar Sanji; ADUN Santan, Muhammad Azmir Azizan (Penyelaras DUN Chuping) dan ADUN Kayang, Asrul Aimran Abd. Jalil (Penyelaras DUN Bintong).

Beliau berkata, selain permohonan dari Pas itu, pihaknya juga menerima cadangan lantikan
Penyelaras DUN tersebut dari Perikatan Nasional (PN) negeri dan Majlis Tindakan DUN.

Bagaimanapun, bagi mengelakkan pertelagahan seterusnya menghormonikan suasana politik di negeri, beliau memutuskan untuk menubuhkan pusat khidmat Menteri Besar di tiga DUN itu yang akan dipantau penghulu setiap kawasan dengan dikelolakan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar.

Beliau berkata, langkah sementara itu sehingga keputusan berkaitan tiga bekas ADUN berkenaan diputuskan oleh mahkamah sama ada kerusi tersebut benar-benar kosong atau sebaliknya.

“Bagi kawasan yang diisytiharkan kosong oleh Speaker DUN sebelum ini, saya mencadangkan menubuhkan pusat khidmat di ketiga-tiga DUN berkenaan yang dipantau penghulu.

“Keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat Exco kelmarin termasuk di kawasan Indera Kayangan yang turut akan dipantau oleh penghulu.

“Rakyat boleh berurusan dengan penghulu atau terus berhubung dengan Pejabat Menteri Besar,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Pesta Angin Timur Perlis 2026 di Dataran Kangar Jaya di sini semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai surat yang tular dari Pesuruhjaya Pas negeri atas nama Badan Perhubungan parti yang mencadang dan mencalonkan tiga nama ADUN tersebut sebagai Penyelaras DUN di kerusi yang kosong itu.

Penularan surat berkenaan mencetuskan polemik disebalik keputusan Pas sebelum ini yang enggan menerima sebarang jawatan dalam pentabdiran kerajaan negeri pimpinan Abu Bakar.

Abu Bakar berkata, ketetapan itu diambil bagi mengelakkan pertelagahan yang berterusan dan sementara menanti keputusan mahkamah berkaitan nasib tiga ADUN berkenaan.-UTUSAN

Scroll to Top