MB tegur penjawat awam Perlis 'curi' keluar minum

MB tegur penjawat awam Perlis 'curi' keluar minum

am@hmetro.com.my

Kangar: Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah menegur sikap segelintir penjawat awam di negeri itu yang didakwa gemar keluar minum di premis makanan ketika waktu bertugas.

Perbuatan itu sekali gus menjejaskan imej perkhidmatan awam serta kepercayaan rakyat.

“Amalan sedemikian tidak seharusnya berlaku kerana penjawat awam dibayar gaji untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan, bukannya menghabiskan masa di luar pejabat tanpa keperluan rasmi.

“Saya menerima maklum balas daripada orang awam yang melihat penjawat awam masih berada di kedai makan pada waktu bekerja.

“Perkara ini perlu dihentikan kerana ia memberi persepsi negatif terhadap keseluruhan perkhidmatan awam,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Menteri Besar Perlis bersama Penjawat Awam Negeri Perlis bagi tahun 2026, di Dewan 2020, di sini, tadi.

Katanya, budaya kerja berintegriti, berdisiplin dan berfokus perlu terus diperkukuhkan selari dengan usaha kerajaan negeri meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua ketua jabatan memainkan peranan memantau kehadiran serta disiplin kakitangan di bawah seliaan masing-masing dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya berlaku pelanggaran peraturan.

“Ketua jabatan perlu mainkan peranan dalam memantau kehadiran dan disiplin kakitangan seliaan masing-masing,” katanya.

“Masyarakat sentiasa memerhati. Kita mahu penjawat awam menjadi contoh terbaik dari segi etika kerja, disiplin masa dan komitmen terhadap tugas,” katanya.

Terdahulu, Abu Bakar menyampaikan amanat Tahun Baru 2026 di hadapan lebih 1,500 penjawat awam negeri dan persekutuan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top