KERAJAAN Selangor mengumumkan tarikh rasmi penganjuran temasya Sukan Malaysia Sukma) XXII dan Para Sukma 2026 yang akan berlangsung di negeri ini, seperti diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengelola (Induk) yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada Selasa.
Menurut Menteri Besar, Sukma XXII Selangor akan berlangsung dari 15 Ogos hingga 24 Ogos 2026, manakala Para Sukma akan diadakan dari 5 September hingga 14 September 2026.
Satu majlis pelancaran logo, maskot dan tema rasmi Sukma XXII dan Para Sukma Selangor 2026 akan diadakan pada 15 Ogos 2025, bersempena dengan sambutan kiraan detik setahun (countdown) menjelang temasya dwitahunan itu.
Bagi upacara rasmi, acara pembukaan Sukma XXII Selangor akan diadakan di Litar Lumba Antarabangsa Sepang, manakala acara penutup rasmi akan dilangsungkan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang juga merupakan gelanggang rasmi pasukan bola sepak Red Giants.
“Acara penutupnya dijangka dihadiri antara 15,000 hingga 16,000 peserta, bergantung kepada kapasiti stadium. Ini berbeza berbanding Sukma terdahulu seperti di Sarawak yang menggunakan dewan tertutup dengan kehadiran sekitar 5,000 hingga 6,000 orang sahaja,” kata Amirudin dalam sidang media di sebuah hotel di Shah Alam.
Hadir sama, Exco Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi.
Mengulas mengenai penganjuran sukan berdasarkan daerah, Menteri Besar menjelaskan pengagihan acara sukan adalah berdasarkan kemudahan sedia ada dan kemampuan daerah dalam menerima atlet, pegawai serta pasukan sokongan.
“Sukan mengikut daerah ini berdasarkan kemudahan sedia ada di kawasan tersebut dan kemampuan untuk menerima atlet serta pegawai. Jadi, kita libatkan semua daerah supaya semua merasa terlibat,” ujarnya.
Antara contoh diberikan ialah acara lawn ball yang akan berlangsung di pusat lawn ball Bayu Mas yang terletak di Klang, menjadikan daerah itu sebagai lokasi rasmi bagi sukan tersebut.
Sementara itu, acara angkat berat pula akan dianjurkan di satu daerah lain yang mempunyai kekuatan dan pengkhususan daripada persatuan berkaitan.
Bagi acara balapan, ujarnya, ia akan diadakan di Stadium Mini Universiti Putra Malaysia (UPM), memandangkan secara tradisi, acara balapan tidak menjadi tumpuan penonton seperti acara pembukaan dan penutup.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Pengelola turut memaklumkan bahawa Sukma XXII Selangor akan mempertandingkan 28 jenis sukan wajib atau teras dan lima sukan tambahan yang akan diumumkan oleh Majlis Tertinggi Sukma dalam mesyuarat pada awal Ogos ini.
Para Sukma pula akan mempertandingkan 10 sukan wajib atau teras.
Penganjuran edisi kali ini melibatkan sembilan daerah dan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri Selangor.
Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan turut terlibat sebagai venue, menjadikan Sukma 2026 sebagai temasya paling menyeluruh selepas 28 tahun kali terakhir dianjurkan di Selangor iaitu pada tahun 1998.
Lebih 10,000 atlet dan pegawai sukan dari 15 kontinjen negeri, termasuk jemputan antarabangsa seperti Brunei Darussalam, dijangka menyertai temasya kali ini.
Amirudin turut menekankan komitmen kerajaan negeri untuk menambah baik taraf kemudahan sukan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan supaya penganjuran Sukma XXII dan Para Sukma 2026 dapat dilaksanakan secara lebih cekap, jimat dan berkualiti.
“Kita mahu hasilkan kemudahan berdaya saing dengan perbelanjaan yang lebih berhemah tanpa mengorbankan mutu penganjuran,” tambahnya.
Â
Â