Mbappe dikecam kerana tidak bermain untuk Perancis

Mbappe dikecam kerana tidak bermain untuk Perancis

Paris: Kapten Perancis, Kylian Mbappe dikecam di negaranya kerana tidak mahu bermain di Liga Negara-Negara menentang Israel dan Belgium, tetapi beraksi untuk Real Madrid.

Penyerang itu mengalami kecederaan otot bulan lalu, tetapi dimasukkan sebagai pemain gantian ketika Real tewas 0-1 di tangan Lille pada aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Rabu lalu.

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps menyisihkan Mbappe daripada skuad yang diumum pada Khamis lalu dengan menyatakan pemain berusia 25 tahun itu kurang bersedia kerana hanya bermain beberapa perlawanan.

Mbappe diturunkan dalam kesebelasan utama ketika Real menewaskan Villarreal pada aksi La Liga, Sabtu lalu.

“Sama ada anda cedera, anda tidak akan bermain untuk kelab dan tidak dipanggil untuk skuad kebangsaan,” kata bekas pemain antarabangsa Perancis, Maxime Bossis kepada akhbar harian sukan Perancis, L’Equipe, semalam.

“Tetapi apabila anda masuk sebagai pemain gantian di UCL dan bermula pada perlawanan liga, ia menyebabkan keadaan semakin keliru.

“Dia adalah pemain istimewa. Kami tahu situasi itu sama seperti Michel Platini apabila kami tetap mahukan dia bersama walaupun ketika dia cedera.”

Menerusi video diedarkan Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF), semalam, Deschamps berkata: “Kylian merangkumi banyak perkara, Kepentingan kepada kelab dan pasukan kebangsaan tidak dapat dielakkan.

“Kita mesti ingat, majikan adalah kelab dan bukannya persatuan.”

Situasi Mbappe lebih rumit kerana bekas pemain Paris St Germain (PSG) itu adalah kapten Perancis selepas diberikan lilitan lengan berbanding Antoine Griezmann, yang minggu lalu mengumumkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa.

Perancis yang kini menduduki tangga kedua Kumpulan A akan berdepan Israel di Budapest pada awal pagi Jumaat, sebelum bertandang ke Belgium pada awal pagi Selasa depan.

“(Kapten) berada di fikiran saya. Tetapi, seperti saya selalu lakukan, kuncinya adalah berbincang dengan pemain yang terbabit,” kata Deschamps.

“Sudah tentu, apabila kapten, Kylian dan Antoine kedua-duanya tiada, ia bermakna orang lain akan menjadi kapten dalam dua perlawanan ini.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top