Dallas: Perlawanan penentuan tempat ketiga Piala Dunia 2026 memberi peluang kepada penyerang Perancis, Kylian Mbappe untuk menebus kecewa dengan mengukuhkan kedudukan dalam perebutan anugerah Kasut Emas.
Perancis tersingkir di peringkat separuh akhir selepas tewas 0-2 kepada Sepanyol, namun Mbappe masih berpeluang menambah jumlah jaringannya apabila beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.
Setakat ini, Mbappe sudah menjaringkan lapan gol pada edisi 2026, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan jaringannya di pentas Piala Dunia meningkat kepada 20 gol.
Gol yang dijaringkan dalam perlawanan tempat ketiga tetap dikira dalam perebutan Kasut Emas kerana ia adalah perlawanan rasmi Piala Dunia.
Bagaimanapun, jaringan yang dihasilkan menerusi penentuan sepakan penalti selepas perlawanan tidak akan dikira dalam statistik tersebut.
Kedudukan terkini penjaring terbanyak Piala Dunia 2026:
Kylian Mbappe (Perancis) – 8 gol
Lionel Messi (Argentina) – 8 gol
Erling Haaland (Norway) – 7 gol
Jude Bellingham (England) – 6 gol
Harry Kane (England) – 6 gol
Pemain Brazil, Leonidas muncul pemain pertama memenangi Kasut Emas selepas menjaringkan gol dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Piala Dunia 1938.
Legenda yang terkenal sebagai antara pelopor sepakan gunting itu meledak dua gol ketika Brazil menewaskan Sweden 4-2 untuk menamatkan kejohanan di tempat ketiga.
Pemain Croatia, Davor Suker pula menjadi pemenang Kasut Emas terakhir yang menjaringkan gol dalam aksi penentuan tempat ketiga apabila membantu negaranya menewaskan Belanda 2-1 pada Piala Dunia 1998.
Sejak itu, hanya dua lagi pemenang Kasut Emas beraksi dalam perlawanan tempat ketiga, iaitu Miroslav Klose (Jerman) pada 2006 dan Harry Kane (England) pada 2018, namun kedua-duanya gagal menambah jaringan.
Pada Piala Dunia 2010, Diego Forlan dan Thomas Muller masing-masing menjaringkan gol dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.
Muller akhirnya dinobatkan sebagai pemenang rasmi Kasut Emas selepas mengatasi pencabar lain menerusi kelebihan jumlah bantuan gol, walaupun empat pemain berkongsi jumlah jaringan yang sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




