Mbappe tidak hadir sesi latihan pertama Arbeloa di Real Madrid

Mbappe tidak hadir sesi latihan pertama Arbeloa di Real Madrid

Madrid: Penyerang, Kylian Mbappe tidak hadir ketika jurulatih Real Madrid, Alvaro Arbeloa mengendalikan sesi latihan pertamanya pada hari ini, selepas menggantikan Xabi Alonso di tampuk kelab gergasi Sepanyol itu.

Selepas dilantik pada Isnin, perlawanan pertama Arbeloa adalah menentang Albacete dalam kempen Copa del Rey, Rabu ini dan penyerang Perancis itu dijangka tidak akan diturunkan.

Mbappe kembali beraksi sebagai pemain gantian selepas pulih daripada terseliuh lutut ketika mereka tewas di final Piala Super Sepanyol kepada Barcelona pada Ahad, namun dia dijangka terus memberi tumpuan kepada proses pemulihan sehingga perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang bekas kelabnya, Monaco pada Selasa depan.

Sumber Real Madrid memberitahu AFP, adalah logik Mbappe tidak menyertai latihan memandangkan masalah lutut dialaminya.

Bekas jurulatih, Alonso mengakui bahawa menurunkan penjaring terbanyak Madrid itu dalam perlawanan menentang Barcelona di Arab Saudi adalah satu risiko yang diambilnya.

Alonso yang digantikan selepas kurang daripada lapan bulan memimpin pasukan berkata di media sosial, dia meninggalkan kelab itu setelah melakukan yang terbaik.

“Keadaan tidak berlaku seperti yang saya harapkan,” tulis jurulatih dari Basque itu di Instagram, hari ini.

“Melatih Real Madrid adalah satu penghormatan dan tanggungjawab. Saya berterima kasih kepada kelab, pemain dan terutama sekali penyokong atas kepercayaan dan sokongan mereka.

“Saya pergi dengan penuh hormat, rasa terima kasih dan bangga kerana telah melakukan yang terbaik yang saya mampu.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top