Shah Alam : Seramai 80 anak yatim dan kanak-kanak berkeperluan khas diraikan dalam majlis berbuka puasa anjuran Centro Mall dengan kerjasama Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), baru-baru ini.
Menurut Pengarah Komunikasi Korporat MBDK, Norfiza Mahfiz pihaknya menghargai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dalam masyarakat majmuk di Klang.
“Kolaborasi antara pihak swasta, pihak polis, dan MBDK dalam majlis yang diadakan ini adalah manifestasi semangat perpaduan yang sangat jitu di Bandaraya Diraja Klang.
“Sinergi seperti inilah yang kita perlukan bagi memastikan keharmonian sosial di bandar raya kita terus terpelihara,” katanya mewakili Datuk Bandar ketika berucap dalam majlis itu.
Norfiza turut menasihatkan anak-anak yang diraikan agar terus bersemangat dalam menuntut ilmu serta menjadi insan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Dalam majlis yang berlangsung di pusat membeli belah itu, Centro Mall turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM2,500 kepada lima pusat jagaan dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) bagi menceriakan penghuni menjelang Aidilfitri.
Penerima sumbangan itu ialah Pusat Jagaan Haneen Firdous, Pusat Jagaan Anak-Anak Istimewa Sayang, Pertubuhan Kebajikan & PDK Kota Raja Klang, Pertubuhan Kebajikan & Pendidikan Nur Kasih Selangor dan Madrasah Ulumulquran Wal Ahadith.
© New Straits Times Press (M) Bhd




