Mbilli yakin mampu cipta kejutan ke atas Alvarez

Mbilli yakin mampu cipta kejutan ke atas Alvarez

Paris: Petinju Perancis, Christian Mbilli menegaskan keyakinan untuk mencipta kejutan apabila berdepan legenda tinju Mexico, Saul ‘Canelo’ Alvarez dalam pertarungan mempertahankan gelaran kelas menengah super WBC di Riyadh, esok.

Mbilli berkata beliau tidak sabar untuk melangkah ke gelanggang dan bersedia memberikan kejutan kepada dunia dalam pertarungan menentang bekas juara dunia itu.

“Saya tidak sabar untuk berada di gelanggang. Saya bersedia menghadapi pertarungan ini dan bersedia mengejutkan dunia.

“Saya sangat menghormati Canelo serta segala pencapaiannya sepanjang karier, tetapi esok ceritanya berbeza dan saya datang untuk menang,” kata petinju berusia 31 tahun itu.

Canelo, 36, yang pernah menguasai divisyen berkenaan, kehilangan takhta selepas tewas kepada petinju Amerika Syarikat, Terence Crawford dalam pertarungan penuh dramatik di Arab Saudi pada September 2025.

Mbilli, petinju kelahiran Cameroon yang mewakili Perancis, mula meraih gelaran interim WBC selepas menumbangkan petinju Poland, Maciej Sulecki menerusi kemenangan kalah mati pada Jun 2025.

Gelaran penuh WBC kemudian dikosongkan selepas Crawford kehilangan status juara susulan pertikaian dengan Majlis Tinju Dunia (WBC).

Situasi itu menyaksikan Mbilli dinaikkan daripada juara interim kepada juara dunia penuh kelas menengah super WBC pada Januari 2026.

Buat pertama kali sejak 2022, Canelo yang memiliki rekod 63 kemenangan termasuk 39 menerusi kalah mati, tiga kekalahan dan dua seri, bakal memasuki pertarungan sebagai pencabar.

“Saya sudah menjadi juara selama bertahun-tahun dan mahu kembali menjadi juara. Saya juga mahu berdepan petinju terbaik.

“Memang sekarang saya berstatus pencabar, tetapi dalam fikiran saya, saya sentiasa seorang juara sejak kecil lagi,” kata Canelo.

Pertarungan di Arab Saudi itu sebelum ini dibayangi pelbagai spekulasi mengenai kemungkinan ditangguhkan atau dipindahkan ke lokasi lain.

Bagaimanapun, perlawanan berkenaan dijadual diteruskan meskipun kerajaan Arab Saudi berdepan serangan dron dan peluru berpandu.

Kumpulan Houthi dan kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi serta diiktiraf masyarakat antarabangsa dilaporkan saling melancarkan serangan setiap hari sejak gencatan senjata yang berlangsung selama beberapa tahun runtuh pada musim panas lalu.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kumpulan Houthi turut meningkatkan serangan terhadap Arab Saudi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top