MBJB lulus 62 tapak bazar Ramadan, Aidilfitri

MBJB lulus 62 tapak bazar Ramadan, Aidilfitri

farid_noh@bh.com.my

Johor Bahru: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) meluluskan penganjuran 62 tapak bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri, tahun ini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata, ia membabitkan 3,199 petak perniagaan iaitu 2,733 lot bazar Ramadan manakala 426 lagi lot bazar Aidilfitri.

Menurutnya, jumlah tapak bazar Ramadan tahun ini menunjukkan peningkatan dengan 13 tapak baharu diberikan kelulusan untuk beroperasi.

“Hasil daripada mesyuarat penuh MBJB, permohonan lesen dan sewa tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri telah diluluskan.

“Dalam tempoh sebulan sebelum Ramadan, penganjur dan badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam penganjuran bazar ini, sudah boleh membuat tawaran kepada peniaga.

“MBJB juga bersedia meneliti permohonan bazar Ramadan dan Aidilfitri baharu yang lain jika terdapat permintaan, namun tidak boleh bertindih di kawasan yang sudah diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB yang pertama tahun ini di Menara MBJB, di sini, hari ini.

Mohd Haffiz yang juga bekas Datuk Bandar Iskandar Puteri menggalas jawatan sebagai Datuk Bandar Johor Bahru, menggantikan Datuk Mohd Noorazam Osman yang dilantik sebagai Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Dalam pada itu, Mohd Haffiz turut mengingatkan penganjur bazar Ramadan untuk mematuhi aspek kebersihan selain tidak menyewakan tapak gerai kepada peniaga warga asing.

“Tindakan pemantauan akan dilakukan sepanjang tempoh penganjuran bazar. Ingatan sudah diberikan kepada penganjur supaya mengutamakan aspek kebersihan.

“Warga asing tidak dibenarkan sama sekali berniaga di tapak bazar. Tindakan penguakuasaan tegas termasuk sitaan lot niaga akan dilakukan jika terdapat warga asing berniaga di bazar Ramadan atau Aidilfitri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top