MBKT kenakan kompaun serta-merta RM20 kepada individu tinggal sampah lepas berbuka puasa

MBKT kenakan kompaun serta-merta RM20 kepada individu tinggal sampah lepas berbuka puasa

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengenakan tindakan kompaun serta-merta sebanyak RM20 ke atas individu yang membiarkan sampah sarap dan sisa makanan dilonggokkan di tepi dan di atas padang, selepas berbuka puasa.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pegawai serta anggota penguat kuasa akan melakukan penyamaran di kawasan tumpuan orang ramai berbuka puasa.

“Kita dimaklumkan sehingga kini lebih 10 individu yang dikesan meninggal dan melonggokkan sampah serta sisa makanan di tepi dan di atas padang sudah dikenakan tindakan serta-merta.

“MBKT akan terus menempatkan pegawai dan anggota penguat kuasa untuk melakukan penyamaran bagi mengambil tindakan ke atas individu yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Terdahulu, Wan Sukairi merasmikan program selepek sahur di tapak Payang Walk di Dataran Shah Bandar, di sini, semalam.

Turut hadir, Datuk Bandar MBKT, Lizan Che Mat dan Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAZ) negeri, Mazshidal Roslal.

Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata demikian ketika mengulas tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab membiarkan sampah sarap dan sisa makanan dilonggokkan di tepi dan di atas padang di kawasan lapang sehingga menyebabkan kawasan itu berbau busuk.

Katanya, MBKT sudah menyediakan tong sampah mencukupi di beberapa lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai berbuka puasa terutama di tempat awam termasuk di Dataran Shah Bandar.

“MBKT sudah menyediakan tempat berbuka puasa berkeluarga dan pelbagai kemudahan termasuk tong sampah.

“Orang ramai diminta mencontohi masyarakat di negara maju apabila mereka sanggup menyimpan sampah dan sisa makanan dalam kenderaan sebelum dibuang dalam tong sampah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top