MBOR iktiraf Hot FM siar radio tanpa henti di Gunung Kinabalu

MBOR iktiraf Hot FM siar radio tanpa henti di Gunung Kinabalu

nooratiqah.sulaiman@bh.com.my

Kuala Lumpur: Stesen radio, Hot FM hari ini menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) kerana melakukan Siaran Radio Terpanjang dan Tanpa Henti di Gunung Kinabalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Media Prima Audio, Nazri Noran berkata, pengiktirafan yang diberikan ini menunjukkan siaran radio bukan hanya terhad di konti semata-mata.

Katanya, dengan teknologi serba canggih kini, radio di Malaysia boleh bersiaran di mana sahaja termasuk di kawasan yang mencabar.

“Selepas kejayaan di Gunung Kinabalu, kita kini sedang mempersiapkan kru Bekpes Hot untuk bersiaran di dasar laut dan bermacam lokasi lain.

“Gunung Kinabalu adalah cabaran pertama yang kita lakukan dan selepas ini lebih banyak lokasi yang ingin kita laksanakan bersama Bekpes Hot dan Hot FM itu sendiri,” katanya kepada BH, hari ini.

Pendakian Bekpes Hot terdiri daripada penyampai popular KJ, Johan, Fara, dan AG, disertai oleh beberapa rakan ekspedisi termasuk Datuk Muqharabbin Mokhtarrudin; Ketua Perubatan Sukan Selangor FC selaku pegawai perubatan yang memantau serta penasihat kesihatan untuk ekspedisi ini iaitu Doktor Hazwan Khair; pelakon Ozlynn Waty dan kru Hot FM.

Pengiktirafan itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Pengerusi MBOR, Datuk Seri Dr Michael Tio ketika Majlis Ulang Tahun ke-30 Malaysia Book Of Records Sdn Bhd.

Dalam majlis yang sama, MBOR turut menyampaikan penghargaan kepada pengamal media yang menyokong MBOR dalam membentuk Malaysia Luar Biasa.

Pengurus Besar Bahagian Acara dan Aktivasi Direct Solutions Media Prima menerima penghargaan itu bagi Rangkaian Televisyen Media Prima sementara Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan (DGME) Media Prima bagi New Straits Times Press Berhad.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perancangan untuk melakukan siaran radio di dasar laut, Nazri berkata ia mungkin diadakan pada Ogos ini.

“Sekarang ini juga mereka sedang membuat persiapan, kerana dalam laut ini agak mencabar untuk melakukan siaran disebabkan itu perlu ada persiapan yang rapi bersama pihak profesional yang dibantu oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

“Kemudian kita akan lihat dari segi teknikal bagaimana untuk kita bersiaran di laut supaya tidak ada sebarang gangguan ketika mereka sedang bersiaran di dasar laut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top