MBPP kuatkuasa peraturan, kompaun pemberi sisa makanan kepada merpati

MBPP kuatkuasa peraturan, kompaun pemberi sisa makanan kepada merpati

GEORGE TOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan bertindak tegas kepada mereka yang didapati membuang sampah dan sisa makanan merata-rata termasuk memberi sisa makanan kepada burung merpati.

Jurucakap MBPP berkata, tindakan penguatkuasaan itu akan diambil di bawah Seksyen 47(1)(g) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. Dalam hal ini katanya, tindakan mahkamah juga boleh diambil terhadap pesalah tegar dan ingkar selain mereka yang tidak membayar kompaun untuk kesalahan berkenaan.

“Pemberi makanan mungkin beranggapan mereka bersifat baik hati dan pengasih, namun, tindakan ini sebenarnya telah menjejaskan tahap kebersihan serta kesihatan awam di samping menyebabkan berlakunya kacau ganggu kepada penduduk.

“Oleh yang demikian, MBPP akan bertindak tegas terhadap mereka yang didapati membuang sampah dan sisa makanan merata-rata. Majlis juga tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun sebanyak RM250 kepada sesiapa sahaja yang didapati bersalah dalam operasi ‘anti-litter’ ini,” katanya di sini, hari ini.

Berdasarkan statistik MBPP bermula 1 Januari  hingga 19 Mac lalu, sebanyak 93 notis tawaran kompaun kesalahan ‘anti-litter’ telah dikeluarkan termasuk lima kompaun kepada individu yang membuang sisa makanan kepada burung merpati.

“Jumlah burung merpati yang ditangkap pada tahun 2023 sahaja adalah 6,606 ekor berbanding 5,020 ekor pada 2022. Dalam hal ini juga, Majlis terpaksa membelanjakan kos tambahan untuk mencuci tempat awam seperti siar kaki yang dipenuhi najis burung bersifat asidik dan menghakis serta boleh menjejaskan kesihatan manusia dan merosakkan harta awam,” katanya.

Tambah beliau, pelbagai amaran dan peringatan telah diusahakan oleh pihak majlis untuk menyedarkan orang awam mengenai larangan membuang sampah dan sisa makanan di tempat awam.

“Ini termasuk pemasangan papan tanda dilarang membuang sampah dan dilarang memberi makan kepada burung atau haiwan lain, pengedaran risalah dan banyak kempen pendidikan awam telahpun diadakan serta diuar-uarkan melalui media sosial MBPP.

“Namun begitu, masih terdapat individu dalam kalangan masyarakat kita yang masih tidak mematuhi peraturan dan undang-undang serta tidak mempunyai tanggungjawab sosial dan mengotorkan kawasan awam,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top