MBSA gempur Dataran Otomobil, warga asing kelam kabut tutup kedai, cuba lolos

MBSA gempur Dataran Otomobil, warga asing kelam kabut tutup kedai, cuba lolos

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Suasana kelam kabut apabila operasi perniagaan secara haram didalangi warga asing di Pusat Komersial Dataran Otomobil Seksyen 15 di sini, diserbu penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Jabatan Imigresen Selangor petang tadi.

Rata-rata peniaga warga asing berkenaan mengusahakan perniagaan kedai runcit, kedai gunting rambut, pusat cuci kenderaan dan ada yang menjual ayam dan itik hidup di bahagian belakang kedai runcit.

Beberapa peniaga tergesa-gesa menutup perniagaan dan melarikan diri selepas menyedari kehadiran penguat kuasa dalam operasi berkenaan.

Itu antara situasi yang berlaku ketika Operasi Bersepadu Premis Perniagaan Tanpa Lesen Yang Dikendalikan oleh Warga Asing yang dijalankan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Jabatan Imigresen Selangor.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, pemeriksaan dijalankan ke atas 89 premis perniagaan, daripada jumlah itu lima diarah tutup dan satu disita.

Menurutnya, arahan penutupan itu dikeluarkan berikutan premis terbabit melanggar syarat lesen, dikendalikan oleh warga asing, menjual haiwan hidup dan tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah.

Katanya, daripada 89 premis yang diperiksa di Jalan Pahat H dan J, MBSA mengarahkan empat kedai runcit, sebuah restoran termasuk sebuah pusat cuci kenderaan serta-merta selepas didapati melakukan kesalahan.

“Tadi saya ada bertanya kepada warga asing (yang berniaga) dan mereka mengakui berniaga secara tidak sah itu selama lima tahun.

“Lima tahun ini satu tempoh yang panjang dan kita akan pastikan tidak berlaku lagi perkara ini di lain tempat,” katanya dalam sidang media di lokasi operasi, di sini petang tadi.

Mohd Fauzi berkata, bagi premis yang ditutup, pemilik premis terbabit mempunyai tempoh 14 hari untuk berjumpa dengan pihak MBSA bagi memberi penjelasan dan membuat pembetulan bagi pelanggaran syarat ke jabatan berkaitan.

“Tiada kompaun dikenakan, premis ditutup dalam tempoh 14 hari dan urusan membuka semula premis perniagaan mereka selepas 14 hari.

“Tindakan berkenaan dilaksanakan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MBSA) 2007 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (MBSA) 2007,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top