MBSA keluarkan notis amaran, hentikan aktiviti 'Glass Water Slide'

MBSA keluarkan notis amaran, hentikan aktiviti 'Glass Water Slide'

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) amat kesal pihak pengurusan taman tema gagal mematuhi prosedur yang ditetapkan walaupun beberapa notis amaran dan kompaun dikeluarkan malah operasi masih diteruskan.

MBSA dalam kenyataan berkata, sebagai respons kepada kegagalan ini, satu Notis Amaran dikeluarkan pada 19 Januari untuk menghentikan segera aktiviti hiburan (Glass Water Slide) mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 Pindaan 2001 Seksyen 6 (1)(a).

“Langkah ini diambil bagi memastikan tiada kerja diteruskan sehingga mendapatkan kelulusan rasmi daripada pihak MBSA.

“MBSA kesal dengan insiden yang berlaku. Walaupun notis dikeluarkan, pemantauan semula mendapati bahawa pihak pengurusan masih meneruskan aktiviti hiburan tersebut tanpa kelulusan bertulis dan engkar terhadap arahan yang dikeluarkan.

“Oleh itu, semalam MBSA mengeluarkan Notis Kompaun Engkar Arahan di bawah Akta Jalan, Parit danBangunan 1974 (Akta 133) Seksyen 121 atas kegagalan pihak pengurusan mematuhi kehendak notis yang diberikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu menjelaskan, pada 22 November 2024, Notis Borang F di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dikeluarkan untuk mengarahkan pihak terbabit agar mengemukakan permohonan kebenaran merancang berhubung pemajuan yang dijalankan tanpa kebenaran merancang.

“Pada tarikh sama, Notis Borang G di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dikeluarkan untukmengarahkan penghentian segera semua aktiviti pemajuan yang dijalankan tanpa kebenaran merancang.

“Pada 23 Januari lalu, Notis Borang H di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dikeluarkan untuk mengarahkan pemulihan semula tanah kepada keadaan asal selepas pihak terbabit gagal memohon atau memperoleh kebenaran merancang.

Menurut kenyataan itu, antara notis amaran lain yang dikeluarkan adalah Notis Amaran bertarikh 14 November 2024 untuk menghentikan kerja sertamerta dan merobohkan struktur yang tidak mematuhi peraturan di bawah Seksyen 80 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

“Notis Amaran bertarikh 14 November 2024 untuk memastikan papan tanda (dendeng) dipasang sepanjang tempoh kerja pembinaan mengikut Seksyen 82 (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

“Notis Amaran bertarikh 14 November 2024 untuk menghentikan segala kerja pendirian bangunan dan struktur tidak mendapat kelulusan bertulis seperti yang terkandung dalam Seksyen 72 (1)(a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974(Akta 133).

“Notis Kompaun bertarikh 14 November 2024 dikeluarkan mengikut Seksyen 47(2)(a), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), atas kesalahan meletakkan bahan binaan di tempat awam tanpa mengambil

langkah-langkah yang sewajarnya untuk mencegah sebarang bahaya,” katanya.

Sehubungan dengan itu, MBSA terus memantau situasi ini dengan lebih teliti.

Sementara itu katanya, MBSA juga kesal terhadap insiden pelampung jatuh yang menimpa pengunjung di sebuah taman tema terkenal pada Rabu laluyang tular di media sosial.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top