Mbuemo sedia gegar EPL bersama Manchester United

Mbuemo sedia gegar EPL bersama Manchester United
Mbuemo FOTO: MANCHESTER UNITED

Mbuemo FOTO: MANCHESTER UNITED

BRYAN Mbuemo meluahkan keterujaan menyertai Manchester United dalam sidang akhbar pertamanya sebagai pemain Red Devils dan menyatakan bahawa kelab gergasi itu merupakan kelab impiannya sejak kecil.

Manchester United telah mengumumkan secara rasmi ketibaan Mbuemo selepas mencapai persetujuan bersama Brentford untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 25 tahun itu dengan jumlah keseluruhan perpindahan bernilai £71 juta (RM350 juta).

Sebelum ini, United telah mengemukakan dua tawaran bernilai £55 juta (RM271 juta) dan £62.5 juta (RM308 juta), namun ditolak Brentford.

Akhirnya, kedua-dua pihak bersetuju dengan pakej perpindahan bernilai £71 juta secara tunai dan tambahan £6 juta (RM29 juta) sebagai insentif bergantung kepada prestasi.

Mbuemo, yang menandatangani kontrak hingga 2030, menyifatkan perpindahan itu sebagai satu impian menjadi kenyataan dan berazam mencipta masa depan cemerlang bersama pasukan bimbingan Ruben Amorim.

“Sebaik sahaja saya tahu ada peluang untuk menyertai Manchester United, saya tidak mahu lepaskannya. Ini kelab impian saya, jersi yang saya pakai sejak kecil.

“Falsafah saya adalah untuk sentiasa menjadi lebih baik daripada semalam. Saya percaya saya mempunyai semangat dan watak untuk mencapai tahap yang lebih tinggi di sini, sambil belajar daripada Amorim dan beraksi bersama pemain-pemain bertaraf dunia.

“Ramai yang bercakap tentang suasana positif yang sedang dibina di kelab ini serta perancangan menarik untuk masa depan. United adalah kelab besar dengan stadium yang luar biasa dan penyokong yang menakjubkan. Kami semua benar-benar bertekad untuk bersaing merebut trofi-trofi utama,” katanya.

Scroll to Top