am@hmetro.com.my
Johor Bahru: MCA menafikan dakwaan kononnya calon mereka yang kalah boleh dipilih mengisi kedudukan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan jika Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, dakwaan seumpama itu hanyalah rekaan semata-mata kerana ia tidak boleh dilakukan mengikut Perlembagaan Johor ketika ini.
“Menyebarkan cerita dongeng sedemikian, mungkin kelihatan menarik dan sensasi, tetapi ia tidak dapat mengubah fakta dan realiti,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Mengikut enakmen berkaitan ADUN lantikan yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Mei lalu, individu yang dipilih itu mestilah berkelayakan dan berpengalaman luas dalam pelbagai bidang bagi membantu pentadbiran dan penggubalan dasar kerajaan negeri.
Selain itu, lantikan perlu melalui usul yang perlu dibentangkan di DUN dan pelantikan mestilah mendapat perkenan Sultan Johor.
Justeru, Ka Siong berkata, MCA masih perlu bekerja keras untuk memenangkan semua 15 calonnya, sekali gus menafikan dakwaan Pakatan Harapan (PH) kononnya calon parti itu diberi laluan mudah oleh Perikatan Nasional (PN) kali ini.
“Empat kerusi BN-MCA dalam PRN Johor kali ini iaitu (DUN) Jementah, Paloh, Layang-Layang dan Stulang, berdepan saingan tiga penjuru menentang PH dan PN. Ini saja sudah cukup untuk menjawab dakwaan PH-DAP bahawa ‘PN bantu BN’.
“Jika MCA diberi laluan mudah oleh PN, mengapa calon kita perlu lawan PH dan PN?” katanya merujuk keputusan PN khususnya PAS baru-baru ini yang menyatakan komitmen mereka untuk menyokong calon BN kali ini, bagi menyekat kemaraan DAP.
MCA, satu-satunya pesaing terkuat PH khususnya DAP setakat ini, kini mempertaruhkan 15 calonnya yang akan bertanding mewakili BN, menyamai jumlah penyertaan ketika PRN Johor pada Mac 2022.
Parti ditubuh pada 27 Februari 1949 itu memasuki gelanggang PRN dengan beberapa perubahan strategi terutama kepada senarai calon serta kerusi ditandinginya.
Empat calon yang juga penyandang DUN sebelum ini masih dikekalkan iaitu calon BN bagi DUN Paloh, Lee Ting Han dan Ling Tian Soon di DUN Yong Peng.
Dua lagi calon penyandang yang turut dikekalkan ialah Tan Chong di DUN Bekok serta Tan Eng Meng yang bertanding di DUN Pekan Nanas.
Misi utama MCA dalam PRN kali ini adalah untuk memecah dominasi DAP khususnya di kawasan bukan Melayu, selain merampas beberapa kerusi DUN yang kini menyaksikan saingan sengit dua parti itu termasuk di DUN Tangkak, Jementah, Johor Jaya serta Stulang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




