redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) menyokong penuh usaha tegas kerajaan dalam menangani isu pendatang tanpa izin (PATI) di negara ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Halim Ishak berkata, hukuman berat harus dikenakan bagi membanteras lambakan PATI di negara ini bagi memberi pengajaran kepada mereka.
Katanya, langkah itu juga akan menjadi isyarat buat kartel PATI supaya tidak terus bermaharajela dan sedar kerajaan serius dalam membendung isu berkenaan.
“Isu lambakan PATI di negara ini dilihat semakin sukar dibendung walaupun kerajaan berusaha melaksanakan pelbagai sistem program.
“Apa jua sistem dan program yang dijalankan tidak akan berjaya sekiranya tiada integriti dan masih ada ‘sistem pemudah cara’ melalui ejen atau kartel (orang tengah).
“Sebelum ini pun saya ada suarakan pandangan kepada pihak kerajaan supaya bertindak tegas dengan melaksanakan hukuman sebat kepada warga asing yang masuk secara haram dan menyalahi visa atau permit kerja mereka jadi sangat bersetuju jika hukuman sebat dilaksanakan,” katanya kepada Harian Metro.
Berdasarkan tinjauan pendapat dilakukan Harian Metro di aplikasi WhatsApp sebelum ini mendapati lebih 95 peratus bersetuju dengan pelaksanaan semula hukuman sebat terhadap PATI.
Tinjauan pendapat itu dilakukan bagi mengulas sama ada wajarkah hukuman sebat dikuat kuasa semula terhadap PATI yang memiliki dokumen tidak sah atau masuk tanpa permit mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Sehingga jam 2 petang semalam, lebih 3,000 orang atau 96 peratus berpendapat bahawa tindakan itu adalah wajar, manakala empat peratus atau 131 orang lagi menyuarakan pendapat tidak wajar.
Dalam Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) ada memperuntukkan hukuman rotan atau sebatan bagi PATI yang melakukan kesalahan seperti tidak memiliki dokumen sah dan tinggal melebihi tempoh.
Mengikut Seksyen 6(3) akta sama, ia memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun, denda RM10,000 atau kedua-duanya serta boleh dikenakan tidak lebih enam kali sebatan.
Bagaimanapun, hukuman itu bergantung kepada kes dan keputusan mahkamah dan sering dilihat dalam kes-kes penguatkuasaan membabitkan tangkapan PATI besar-besaran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




