McDonald's Malaysia sasar 1 juta hidangan Nasi Mekdi bantu pelajar IPT hingga akhir tahun

McDonald's Malaysia sasar 1 juta hidangan Nasi Mekdi bantu pelajar IPT hingga akhir tahun

KUALA LUMPUR: Kenaikan kos sara hidup saban tahun terus menjadi antara cabaran terbesar dalam kalangan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), khususnya dalam memastikan keperluan asas seperti makanan dapat dipenuhi secara berterusan.

Peningkatan harga makanan, pengangkutan dan penginapan menyebabkan sebahagian pelajar terpaksa berbelanja secara minimum, sekali gus menjejaskan keselesaan dan tumpuan terhadap pengajian.

Menurut laporan Nutrition Society of Malaysia bertajuk, Financial problems associated with food insecurity among public university students in Peninsular Malaysia, lebih 60 peratus pelajar di beberapa universiti awam berdepan masalah ketidakjaminan makanan.

Menyedari hakikat itu, McDonald’s Malaysia melancarkan inisiatif menyokong golongan belia menerusi Program Santun Pelajar.

Program ini antara inisiatif yang dilaksanakan bagi mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat dalam menyokong pelajar di seluruh negara, terutama mereka daripada golongan kurang berkemampuan dan berdepan cabaran kewangan.

Majlis pelancaran program yang diadakan di restoran Pandu-Lalu McDonald’s Titiwangsa, baru-baru ini, menjadi permulaan kepada visi syarikat untuk memastikan tiada pelajar tercicir hanya kerana kekangan asas kehidupan.

Program ini bermula dengan penyediaan makanan bagi pelajar IPT membabitkan pelaburan kira-kira RM5 juta dan menyasarkan sebanyak satu juta hidangan menjelang akhir 2026.

Program ini turut melengkapkan ekosistem pembangunan belia McDonald’s, termasuk Akademi Vokasional McDonald’s dan program ijazah bersama universiti tempatan.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar, berkata program itu sebahagian daripada usaha berterusan syarikat dalam menyantuni komuniti, terutama belia yang sedang menempuh cabaran kewangan.

“Kami mahu mengurangkan beban kehidupan pelajar. Mungkin tidak boleh merangkumi semua yang memerlukan, tetapi insya-Allah ia dapat meringankan beban mereka yang mampu kita bantu.

“Dengan program ini juga kita berharap agar pelajar dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian tanpa dibelenggu keperluan asas seperti makanan,” katanya kepada media pada majlis pelancaran program.

Sebagai permulaan sempena Ramadan ini, 50,000 hidangan Nasi Mekdi akan diagihkan kepada pelajar di 20 IPT terpilih merentasi 11 negeri, bermula 19 Februari hingga 10 Mac 2026.

Setiap set Nasi Mekdi mengandungi nasi putih, kuah kari kentang, Ayam Tenders McD (pedas), telur dan minuman teh ais limau dengan penebusan baucar dari jam 9 malam hingga 12 tengah malam bagi mengelakkan kesesakan waktu puncak berbuka puasa.

Mengulas lanjut mengenai program itu, beliau berkata, pihaknya memilih sajian Nasi Mekdi kerana nasi adalah makanan ruji rakyat Malaysia.

“Ia juga kesinambungan kepada tradisi menu lokal McDonald’s seperti Nasi Lemak McD.

“Dengan menyediakan satu sajian yang mengenyangkan dan menepati cita rasa rakyat Malaysia, Nasi Mekdi adalah hidangan praktikal dan bermakna,” katanya.

20 IPT fasa permulaan

McDonald's Malaysia sasar 1 juta hidangan Nasi Mekdi bantu pelajar IPT hingga akhir tahun
Datuk Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia

Setakat ini, 20 IPT terbabit dalam fasa permulaan dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 75 IPT di seluruh negara dalam fasa seterusnya.

Azmir berkata, pelajar hari ini adalah tenaga kerja dan pemimpin masa depan negara.

“Kita mahu memastikan mereka bukan sahaja cukup makan, tetapi turut dibimbing dari segi pembangunan kemahiran dan peluang kerjaya,” katanya.

Program Santun Pelajar turut dirangka melalui babit urus dengan universiti, politeknik, kolej komuniti, kolej swasta dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), yang menyuarakan kebimbangan mengenai tekanan kos kehidupan yang menjejaskan tumpuan dan kesejahteraan pelajar.

Melalui kerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Pelajar di setiap IPT, pelajar yang benar-benar memerlukan dikenal pasti secara telus bagi menerima sokongan.

Ketua Bahagian, Hal Ehwal Pelajar, Universiti Islam Selangor (UIS) Dr Salman Zainal Abidin berkata, pihak universiti sangat menghargai inisiatif itu kerana ia memberikan sokongan terus kepada pelajar yang memerlukannya.

“Kos sara hidup memberi tekanan kepada pelajar dan program seperti ini membantu mereka kekal fokus dalam pengajian,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis perwakilan Pelajar Kolej Profesional MARA Beranang, Semenyih, Selangor, Alya Juwairiyah Rizal Hafiz, 21, menyifatkan inisiatif itu hadir tepat pada masanya, khususnya sepanjang Ramadan.

“Memang ramai pelajar yang menghadapi kesukaran dari segi makanan. Ramai pelajar yang memperuntukkan sekitar RM5 sehari untuk makan dan itu sudah dianggap harga standard di kolej.

“Makanan itu pula ada yang terpaksa membahagikan kepada dua waktu hidangan iaitu, siang dan malam,” katanya.

Katanya, walaupun setiap bulan mereka menerima elaun makan, ia sebenarnya masih belum mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian.

“Jadi, kami sangat-sangat menghargai sumbangan Pek Nasi Mekdi dari McDonald’s ini.

“Saya berharap inisiatif ini dapat diteruskan secara konsisten supaya kebajikan pelajar, khususnya golongan memerlukan, terus terpelihara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top