AFP
McIlroy yakin pertahankan gelaran di Pebble Beach
San Francisco: Juara bertahan Rory McIlroy memulakan kempen US PGA Tour musim ini dengan penuh keyakinan ketika membuka saingan Pebble Beach Pro-Am, Khamis ini, sambil kembali menggunakan kelengkapan yang sudah biasa baginya.
McIlroy menjuarai kejohanan di Pebble Beach tahun lalu dan turut memenangi The Players Championship sebelum meraikan kemenangan epik di Masters, sekali gus melengkapkan karier Grand Slam beliau.
“Permainan rasa dalam keadaan baik. Saya rasa cukup yakin datang ke sini,” kata pemain lima kali juara utama itu. “Saya mahu terus maju dan ada lebih banyak sasaran yang ingin dicapai.”
Salah satu matlamatnya ialah mengulang kejayaan di Pebble Beach, lokasi yang akan menjadi hos US Open tahun depan.
“Tahun lalu ia cara yang sempurna untuk memulakan musim di sini. Harap minggu ini boleh dapat hasil yang serupa,” katanya.
McIlroy kembali menggunakan cavity-back irons yang pernah dicuba dalam Australian Open Disember lalu dan dua kejohanan awal tahun ini di Dubai, selepas bereksperimen dengan beberapa perubahan peralatan dan bola golf.
“Saya cuba beberapa set-up iron berbeza dan bola berbeza, tapi eksperimen itu tamat, kembali kepada irons yang saya guna sepanjang kerjaya. Rasa lebih selesa, terutama di bawah tekanan atau saat kompetisi,” katanya.
Dalam persaingan dunia, McIlroy kini berada di tangga kedua di belakang Scottie Scheffler, yang memenangi gelaran PGA ke-20 bulan lalu di American Express, California.
“Kalau nak kritik diri sendiri tahun lalu, mungkin saya kurang konsisten selepas Masters. Tapi Scottie memang luar biasa, 17 top-10 berturut-turut. Beliau hebat macam Tiger Woods ketika zaman kegemilangannya,” kata McIlroy.
Walaupun mahu kemenangan lagi di Pebble Beach untuk memulakan musim, McIlroy berkata kondisi padang Februari bukanlah penentu untuk US Open tahun depan.
“US Open nanti akan ada rough lebih tebal. Sekarang hijau lembut, boleh main agresif, tapi dalam US Open, tersasar fairway kena main lebih berhati-hati. Ada lebih strategi terlibat,” jelasnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



