MCIS Life sumbang RM1 juta untuk penanaman pokok hujan endemik

MCIS Life sumbang RM1 juta untuk penanaman pokok hujan endemik

KUALA LUMPUR – Dalam usaha mengurangkan kesan pemanasan global, MCIS Insurance Berhad (MCIS Life) akan menyalurkan sebanyak RM1 juta untuk tujuan penanaman 5,000 pokok hutan hujan endemik dalam lokaliti tapak kelestarian perintisnya di MCIS Life Legacy Forest di Sireh Park, Iskandar Puteri, Johor.

Projek perintis bermula 2019 di mana 1,280 anak pokok telah ditanam antara tahun 2020 dan 2022 di lokasi yang sama.

Penambahan baharu itu meningkatkan jumlah spesies pokok hutan hujan endemik di tapak kepada lebih daripada 45 jenis.

Pengerusi MCIS Life, Mohammad Nizar Idris berkata, ia adalah sumbangan proaktif kami ke arah pemeliharaan dan perlindungan alam sekitar untuk mengurangkan kesan perubahan iklim selepas pemantauan rapi terhadap kesan projek perintis selama tiga tahun.

“Secara asasnya, kami menyumbang untuk masa hadapan kerana mengambil tindakan bersepadu dalam usaha menentangi kesan pemanasan global adalah tanggungjawab bersama dan kami menerajui jalan ini untuk membendung kehilangan biodiversiti melalui penanaman pokok hutan hujan endemik yang terpilih kerana ia dapat membantu dalam pengimbangan karbon,” tambahnya.

Beliau semalam merasmikan papan tanda MCIS Life Legacy Forest di Sireh Park.

Inisiatif penanaman pokok hutan hujan endemik MCIS Life adalah antara pelan tindakan insurans hayat ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, terutamanya SDG 13 yang memfokuskan Tindakan Memerangi Perubahan Iklim.

Kira-kira 5,000 anak pokok baharu kini ditanam secara berperingkat akan selesai menjelang Ogos 2023.

Inisiatif penanaman pokok terbaharu itu merupakan kerjasama strategik antara MCIS Life dan The Nusajaya Natural Heritage Trust (TNNHT), sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang memiliki dan mengendalikan Sireh Park.

Menurut laporan tahunan MCIS Life bagi tempoh berakhir 31 Disember 2022, inisiatif perintis yang melibatkan 1,280 pokok telah menyumbang kepada anggaran 30.03 tan pengimbangan karbon untuk tempoh pelaporan, peningkatan daripada anggaran 17.6 tan yang dicatatkan setakat 31 Disember 2021.

“Lembaga Pengarah dan pengurusan MCIS Life bukan setakat melihat isu kemampanan sebagai sebahagian daripada faktor kejayaan dan rancangan pertumbuhan syarikat sahaja.

“Kami memahami kepentingan tindakan yang konsisten ke arah penambahbaikan persekitaran semula jadi, membina masa depan yang lebih baik dan membantu membentuk populasi yang lebih sihat,” tambah Mohammad Nizar. – MalaysiaGazete

Scroll to Top