McLaren 'lagi laju' daripada era emas Schumacher – Stella

McLaren 'lagi laju' daripada era emas Schumacher – Stella

Budapest: Ketua pasukan McLaren, Andrea Stella membuat perbandingan berani apabila menyifatkan kemajuan pasukannya ketika ini lebih pantas daripada era kegemilangan Ferrari bersama legenda Formula Satu, Michael Schumacher.

Stella yang pernah menjadi jurutera Ferrari ketika Schumacher merangkul lima kejuaraan berturut-turut dari 2000 hingga 2004, mengakui dia sendiri terkejut dengan lonjakan prestasi McLaren dalam tempoh singkat.

“Kadar kemajuan yang kami alami di McLaren dalam beberapa tahun ini sangat luar biasa dan mungkin lebih pantas daripada apa yang saya saksikan ketika bersama Ferrari dulu,” katanya ketika sidang media menjelang Grand Prix Hungary.

Pasukan berpangkalan di Woking itu kini menguasai kedua-dua kejuaraan dunia selepas merangkul gelaran konstruktor musim lalu dan kini mendominasi 2025 dengan 10 kemenangan daripada 13 perlumbaan setakat ini.

Dengan Oscar Piastri dan Lando Norris saling bersaing di puncak carta pemandu, McLaren kini mendahului Ferrari dengan kelebihan 268 mata dalam kedudukan keseluruhan pasukan.

Stella, yang menyertai McLaren pada 2015, mendedahkan pihaknya melaksanakan pendekatan pembangunan kereta yang amat agresif dan inovatif bagi menamatkan ketidaktentuan prestasi musim lalu.

“Kami tidak mahu lagi pergi ke setiap perlumbaan tanpa tahu siapa bakal menang. Sebab itu kami buat keputusan untuk berinovasi lebih daripada kebiasaan,” katanya.

Menurutnya, jentera McLaren MCL39 bukan saja inovatif tetapi turut melalui beberapa siri naik taraf besar sejak awal musim 2025.

Meskipun ramai melihat perebutan kejuaraan pemandu hanya membabitkan Piastri dan Norris, Stella menegaskan saingan belum berakhir selagi ia belum disahkan secara matematik.

“Saya hanya percaya pada matematik. Selagi belum pasti secara rasmi, saya tidak akan bersetuju ia perlumbaan dua hala,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top