lokman.khairi@hmetro.com.my
Selayang: Majlis sambutan ulang tahun Muslim Care Malaysia (MCM) yang ke-20 di ibu pejabat MCM, di sini, malam tadi berlangsung dalam suasana sederhana dan penuh kesyukuran.
Antara yang hadir adalah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin, diikuti ucapan Presiden MCM, Zulkifli Wajihan dan tazkirah khas disampaikan Dr Zulkifli sebelum majlis berbuka puasa.
Zulkifli berkata, sejak 2006 hingga kini, MCM sudah menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada 50 negara.
“Daripada 50 negara itu, kita sudah mendirikan pusat Islam, masjid dan sekolah di 15 negara termasuk Poland, United Kingdom, Afrika, Timur Tengah, Palestin, Syria, Asia Tenggara, New Zealand dan sehingga ke Amerika Latin di Brazil.
“Ini semua adalah hasil sumbangan rakyat Malaysia yang kami sangat alu-alukan.
“Kami bangga dengan komitmen rakyat Malaysia dalam membantu orang yang memerlukan di seluruh dunia selari dengan tema kita iaitu ‘Bantuan Merentasi Sempadan’ tanpa mengira agama, geografi, bangsa dan warna kulit,” katanya ketika ditemui selepas majlis di sini, malam tadi.
Menceritakan fokus badan bukan kerajaan (NGO) Islam itu tahun ini, Zulkifli berkata, keutamaan MCM ketika ini adalah membantu membaik pulih infrastruktur di Palestin yang terjejas akibat serangan Zionis.
“Seperti kita semua sedia maklum, seramai lebih 60,000 rakyat Palestin gugur syahid.
“Kita akan membantu untuk membaik pulih infrastruktur secepat mungkin antaranya kita membina semula sekolah, masjid serta pusat kesihatan kita yang sudah runtuh dimusnahkan Zionis.
“Itu antara keutamaan jika keamanan dapat diadakan dalam masa terdekat,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, MCM komited mengembangkan syiar Islam dengan membina lebih banyak pusat Islam di seluruh dunia.
“Antaranya kita akan bina baru di Afghanistan, beberapa negara di Afrika dan terbaru kita akan menyiapkan pusat Islam kita di Brazil yang mana (bangunan) sudah dibeli, kita menaik taraf bangunan itu dan insya-Allah dirasmikan dalam enam bulan lagi.
“Kita juga tidak lupa untuk bantuan kecemasan seperti makanan, pakaian dan air bersih kepada tempat memerlukan dan ditimpa bencana.
“Jadi harapan kami supaya rakyat Malaysia berdiri teguh dalam misi bantuan ini dan terus bersama MCM dalam menaikkan nama Malaysia di peringkat dunia hanya kerana Allah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




