harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sindiket penipuan dikesan memberi upah secara harian kepada pemandu untuk membawa peranti stesen pangkalan palsu (BTS) di sekitar Bukit Chagar, Johor Bahru di Johor, hari ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini berkata, pemandu terbabit dikesan membawa peranti komunikasi BTS yang tidak diperakui dan berupaya memintas rangkaian sah.
“Peranti BTS berkenaan mampu memintas rangkaian dan menghantar mesej pesanan ringkas (SMS) palsu secara terus kepada peranti milik pengguna di kawasan sekitar.
“Dalam operasi itu pasukan penguat kuasa mengenal pasti seorang individu dan sebuah kenderaan yang digunakan sebagai platform pemancaran Fake BTS,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, operasi dijalankan secara bersepadu bersama pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan berjaya mengesan penggunaan peranti komunikasi haram itu.
Katanya, siasatan awal mendapati individu terbabit direkrut untuk mengendalikan peranti BTS palsu dan dibayar secara harian oleh sindiket berkenaan.
“Ia satu taktik yang digunakan oleh sindiket bagi memperluas operasi tanpa mendedahkan struktur sebenar rangkaian mereka.
“Penemuan ini mengukuhkan kewujudan rangkaian sindiket yang menyasarkan pengguna di kawasan tumpuan awam, sekali gus meningkatkan risiko penipuan serta mengancam integriti sistem telekomunikasi negara,” katanya.
MCMC berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyalahgunakan rangkaian komunikasi.
Katanya, pemantauan teknikal serta tindakan penguatkuasaan akan terus diperkasakan bagi melindungi pengguna dan memastikan keselamatan serta kebolehpercayaan rangkaian komunikasi negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd



