MCMC Gerakkan PRIME dan NADI Bantu Pemulihan Komunikasi Sabah

MCMC Gerakkan PRIME dan NADI Bantu Pemulihan Komunikasi Sabah

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memperkukuh usaha bagi memastikan penduduk enam daerah pantai timur Sabah kekal terhubung berikutan gangguan bekalan eletrik.

Komunikasi Korporat MCMC dalam kenyataan berkata, pihaknya menyediakan kemudahan komunikasi kecemasan melalui Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME).

Sistem berasaskan kenderaan itu digerakkan ke Kampung Cendrakasih dan Penampang bagi membantu pasukan penyelamat serta menyokong kerja-kerja pemulihan infrastruktur oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), katanya.

Kenderaan PRIME itu menggunakan gabungan pelbagai teknologi terkini termasuk komunikasi satelit untuk kawasan tanpa liputan selular, rangkaian selular (cellular network) mudah alih dan radio dua-hala (two-way radio) untuk kegunaan pasukan operasi.

Ia juga dilengkapi Wi-Fi hotspot untuk akses Internet pantas dan dron bagi memperluaskan liputan dan menyampaikan maklumat secara terus di lokasi kritikal.

Kenderaan PRIME di lokasi bencana membantu pasukan penyelamat serta menyokong kerja-kerja pemulihan infrastruktur

“Pada masa yang sama, sebanyak 131 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) turut diaktifkan untuk menyediakan capaian Internet kepada masyarakat yang terkesan, agar mereka kekal berhubung dengan keluarga dan pihak berkuasa,” kata kenyataan itu, semalam.

Sabtu lalu, enam daerah di pantai timur Sabah terputus bekalan eletrik akibat kejadian kejadian tanah runtuh yang menyebabkan salah satu menara penghantaran talian 275 kilovolt (kV) Kolopis – Segaliud tumbang berhampiran Kampung Sarapung, Penampang.

Gangguan bekalan elektrik itu turut menyebabkan masalah komunikasi apabila menara telekomunikasi tidak dapat berfungsi.

Komunikasi Korporat MCMC menambah, sebanyak 266 menara telekomunikasi telah terjejas akibat gangguan bekalan elektrik itu.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut, lebih separuh iaitu 147 menara telah kembali beroperasi, dengan kerja-kerja pemulihan giat dilaksanakan secara berperingkat bersama syarikat telekomunikasi.

Majlis peluncuran dan penyerahan kenderaan PRIME untuk Sabah oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil baru-baru ini.

Katanya, MCMC turut menubuhkan Task Force bersama syarikat telekomunikasi dan SESB bagi memantau keadaan semasa di tapak-tapak terkesan.

“Mesyuarat berkala ini memberi tumpuan kepada penyelarasan pemulihan collector sites (tapak utama yang mengawal liputan komunikasi di kawasan sekitarnya) dan tapak kritikal yang dikenal pasti sebagai sasaran penting.

“Di samping itu memastikan penyaluran bekalan kuasa sementara melalui genset, agar proses pemulihan komunikasi dapat dipercepatkan,” katanya.

Kenyataan itu turut menegaskan MCMC akan terus bekerjasama dengan agensi penyelamat, syarikat telekomunikasi serta pihak berkuasa negeri dan persekutuan untuk memastikan komunikasi dan capaian Internet di kawasan terjejas dapat dipulihkan segera.

“Ini demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah,” tegasnya.


Scroll to Top