MCMC ketatkan pendaftaran kad sim tahun depan

MCMC ketatkan pendaftaran kad sim tahun depan

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengetatkan garis panduan pendaftaran kad sim prabayar di negara ini yang disasarkan dilaksanakan pada suku pertama tahun depan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, berdasarkan garis panduan yang ditetapkan sejak 2017, setiap individu boleh mendaftar sehingga lima nombor prabayar bagi setiap syarikat telekomunikasi.

“Ia menjadikan jumlah yang agak besar untuk satu individu. Kini, MCMC sedang melaksanakan siasatan awam mencadangkan had baharu, iaitu maksimum dua nombor prabayar bagi setiap telco untuk warganegara Malaysia.

“Bagi warga asing, mereka hanya akan dibenarkan memiliki dua nombor prabayar sahaja, tanpa mengira syarikat telco mana yang digunakan,” katanya sewaktu pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengenai adakah kerajaan bercadang untuk merangka dasar penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara beretika dan Langkah diambil MCMC untuk mengukuhkan keupayaan forensik digital.

Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, dengan mengetatkan garis panduan ini, pihaknya berharap ia dapat mengurangkan penyalahgunaan kad sim prabayar yang sering digunakan untuk mendaftar akaun media sosial bagi tujuan penipuan, penyebaran maklumat palsu atau ugutan.

“Siasatan awam ini dijangka selesai hujung November dan MCMC menyasarkan garis panduan baharu dapat dikuatkuasakan pada suku pertama tahun depan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top