MCMC lapor polis penjualan gula-gula khayal di TikTok

MCMC lapor polis penjualan gula-gula khayal di TikTok

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah membuat laporan polis berhubung kegiatan penjualan gula-gula mengkhayalkan disyaki dadah menerusi aplikasi media sosial, TikTok.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata laporan polis itu dibuat hari ini selepas perkara itu didedahkan pengguna media sosial di aplikasi X.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati pihak TikTok sudah menurunkan kandungan terbabit dan ia tidak lagi boleh diakses di negara ini.

“Bagaimanapun berdasarkan produk terbabit, saya minta MCMC meluaskan siasatan dan carian untuk mengenal pasti pihak lain yang cuba menjual dadah seperti ini di platform bukan hanya TikTok tetapi (di platform media sosial) lain.

“Satu laporan polis (sudah) dibuat dan kita serah (kes ini) kepada polis untuk menjalankan siasatan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Fahmi berkata, MCMC juga akan mendapatkan maklumat lanjut daripada TikTok berhubung perkara berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, pihaknya akan memanjangkan isu daftar masuk hotel dan inap desa mulai jam 4 petang kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

Katanya, kerajaan mengambil maklum mengenai keluhan rakyat khususnya di media sosial membabitkan perkara berkenaan.

“Walaupun isu ini tidak dibincangkan di dalam mesyuarat (Jemaah Menteri) hari ini, saya akan panjangkan kepada MOTAC untuk (mereka) memberi maklum balas,” katanya.

Baru-baru ini tular keluhan di media sosial mendakwa segelintir hotel menetapkan daftar masuk ke penginapan mereka bermula jam 4 petang.

Perkara itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna yang merasakan tempoh masa penginapan menjadi singkat.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel dilaporkan berkata, pemilik hotel dan inap desa bebas menetapkan masa daftar masuk kerana ia tidak termaktub di dalam undang-undang perhotelan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top