MCMC Siasat 5 Individu Sebar Berita Palsu Harga Minyak di Threads

MCMC Siasat 5 Individu Sebar Berita Palsu Harga Minyak di Threads

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan terhadap penyebaran maklumat palsu berkaitan kenaikan harga petrol dan diesel yang tular di platform media sosial, Threads.

Dalam kenyataannya hari ini, MCMC memaklumkan lima individu dikenal pasti terlibat dengan tiga daripadanya sudah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

Menurut MCMC, kandungan yang disebarkan didapati palsu, mengelirukan serta berpotensi mencetuskan kegelisahan dalam kalangan pengguna.

“Hasil semakan lanjut, pihak Buletin TV3 sudah mengeluarkan penafian terhadap penerbitan kandungan yang disunting menggunakan identiti visual mereka.

“Susulan itu, pihak MCMC juga sudah menerima aduan daripada Buletin TV3 bahawa kandungan palsu yang tular itu adalah bukan daripada mereka dan dilakukan oleh pihak ketiga,” menurut kenyataan itu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengulas lanjut, MCMC menegaskan pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial yang bertujuan mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat palsu.

“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada,” katanya.

Orang ramai turut diingatkan supaya menggunakan platform media sosial secara bertanggungjawab dan tidak menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta ketenteraman awam.

Baru-baru ini, Buletin TV3 menafikan penglibatan dalam penyebaran maklumat harga minyak yang tular menggunakan logo dan identiti visualnya, sambil menegaskan kandungan berkenaan dihasilkan pihak ketiga tanpa kebenaran.


Scroll to Top