MCMC siasat individu muat naik kandungan palsu terhadap SPRM

MCMC siasat individu muat naik kandungan palsu terhadap SPRM

am@hmetro.com.my

Cyberjaya: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan terhadap seorang individu disyaki memuat naik kandungan berunsur palsu di TikTok terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

MCMC berkata, individu terbabit sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan dan pihaknya turut menyita seunit peranti komunikasi yang digunakan memuat naik kandungan berkenaan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan media digital yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.

“Tindakan penguatkuasaan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada,” katanya.

Menurut kenyataan itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan platform media sosial dan media digital.

“Selain tidak menyalah gunakan kemudahan komunikasi bagi memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top