MCMC siasat pempengaruh sebar maklumat palsu kaitkan Institusi Diraja

MCMC siasat pempengaruh sebar maklumat palsu kaitkan Institusi Diraja

am@hmetro.com.my

Cyberjaya: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan terhadap seorang pempengaruh media sosial selepas didakwa menyebarkan maklumat palsu yang mengaitkan Institusi Diraja dengan dakwaan tidak berasas.

MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 selepas menerima aduan rasmi berhubung perkara itu.

“Dua sesi rakaman percakapan serta siasatan lanjut diadakan di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya, masing-masing pada 25 dan 28 April lalu.

“Siasatan awal mendapati kandungan disebarkan pempengaruh itu turut membabitkan cubaan mendedahkan maklumat peribadi individu tanpa kebenaran dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu pihak tertentu.

“Tindakan ini berpotensi mencetuskan kegusaran awam, menyemarakkan fitnah serta mengundang ancaman terhadap keselamatan individu terbabit selain melanggar undang-undang komunikasi dan perlindungan data peribadi,” katanya.

Menurut kenyataan itu, MCMC menegaskan semua aduan akan disiasat secara profesional dan berlandaskan undang-undang, tanpa mengira status, populariti atau pengaruh individu terbabit.

Suruhanjaya itu juga mengingatkan orang ramai bahawa penyebaran kandungan berkaitan isu 3R (agama, kaum dan Institusi Diraja), ancaman, gangguan atau pencerobohan privasi individu adalah kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan sedia ada.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top