hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya melumpuhkan sindiket penipuan yang menggunakan peralatan pemancaran Stesen Pangkalan Palsu atau Fake Base Transceiver Station (Fake BTS) di sekitar Genting Highlands, baru-baru ini.
Kejayaan itu hasil operasi bersepadu yang dijalankan MCMC bersama syarikat telekomunikasi susulan pemantauan teknikal terhadap gangguan perkhidmatan dan peningkatan penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur penipuan.
MCMC dalam kenyataan berkata, serbuan lapangan yang dilakukan pada 19 Januari lalu berjaya mengesan dua kenderaan yang digunakan secara aktif untuk membawa dan mengendalikan peralatan Fake BTS berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut di lokasi mengesahkan wujudnya aktiviti pemintasan rangkaian telekomunikasi menggunakan peralatan tersebut.
“Ia dipercayai digunakan untuk menghantar SMS ‘scam’ kepada pengguna telefon mudah alih yang berada di kawasan sekitar, sekali gus membuktikan kegiatan ini dilakukan secara terancang,” kata kenyataan itu.
Susulan itu, semua peralatan Fake BTS dan peranti kawalan yang ditemui dalam kenderaan terbabit dirampas untuk siasatan lanjut.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588]. Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjarakan sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang membawa hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya,”katanya.
MCMC turut menegaskan pendirian tegas badan kawal selia itu untuk tidak berkompromi dengan sebarang penyalahgunaan rangkaian yang boleh menggugat keselamatan awam dan integriti sistem telekomunikasi negara.
“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan rangkaian komunikasi negara kekal selamat dan terpelihara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




