am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menurunkan 2,033 iklan berkaitan produk dan perkhidmatan tidak dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi lain pada awal tahun ini, sehingga setakat 1 Ogos lalu.
Timbalan Menteri Komunikasi, Te Nie Ching berkata, penurunkan iklan di media sosial itu dibuat berdasarkan 2,283 aduan yang diterima pihaknya dalam tempoh sama.
Katanya usaha menurunkan iklan berkaitan telah dibuat sejak 2022.
“Pada tahun 2022, pihak SKMM telah menerima dan menurunkan lapan iklan berkaitan.
“Diikuti tahun 2023, pihak SKMM mendapat sebanyak 439 aduan dan telah menurunkan sebanyak 390 iklan dan perkhidmatan tidak dibenarkan secara dalam talian. Manakala pada tahun 2024 (aduan 3,312) dan (iklan diturunkan 1,643),” katanya selepas merasmikan Geran Digital PMKS Madani (GDPM) Festival 2025 peringkat negeri Johor di Permas Jaya di sini, hari ini.
Jelas Nie Ching kementeriannya sentiasa bekerjasama dengan KKM berhubung ubatan atau perkhidmatan kesihatan palsu kerana kementerian itu mempunyai kepakaran dalam mengenalpasti.
“Apabila kita mendapat aduan daripada KKM, SKMM akan memaklumkan kepada penyedia platform media sosial untuk ianya diturunkan sekiranya iklan tersebut tidak dibenarkan.
“Tetapi sekiranya kami mendapat aduan daripada orang awam berhubung sesuatu perkara contoh ubatan palsu, pihak kami akan merujuk perkara itu kepada KKM untuk pengesahan sebelum tindakan lanjut (menurunkan iklan) dibuat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd