Tucson: Juara dunia lebuh raya, Brandon McNulty bakal membuat penampilan pertama dengan menyarung jersi pelangi di bumi Amerika Syarikat apabila menyertai El Tour de Tucson di Arizona pada 21 November ini.
Pelumba berusia 28 tahun kelahiran Phoenix itu akan menyertai acara berbasikal massa berkenaan buat kali pertama selepas mencipta kejayaan merangkul gelaran dunia perlumbaan lebuh raya elit lelaki.
Kejayaan McNulty itu turut mencipta sejarah apabila menjadikan Amerika Syarikat memiliki juara dunia perlumbaan lebuh raya elit lelaki buat kali pertama sejak 1993.
Kehadirannya di Tucson dijangka menarik perhatian peminat tempatan yang mahu menyaksikan sendiri jersi pelangi yang sinonim dengan gelaran juara dunia, tidak lama selepas kejayaan bersejarah itu.
El Tour de Tucson yang memasuki edisi ke-43 dijangka menghimpunkan kira-kira 12,000 peserta dengan tiga pilihan jarak kayuhan, termasuk laluan paling jauh dengan jarak 165 kilometer.
Berbeza dengan perlumbaan profesional, acara itu tidak menawarkan hadiah wang tunai kerana penyertaan lebih tertumpu kepada pencapaian peribadi dan pengalaman mengharungi cabaran berbasikal beramai-ramai.
McNulty bukan satu-satunya nama besar yang dijangka mengambil bahagian apabila turut disenaraikan tiga kali juara kebangsaan lebuh raya Amerika Syarikat, Quinn Simmons, juara lebuh raya Kanada, Jérôme Gauthier, serta juara dunia berbasikal trek dan lebuh raya, Chloe Dygert.
Bekas pelumba profesional Britain, Sir Bradley Wiggins turut dijangka memeriahkan acara berkenaan yang menjadi antara inisiatif utama organisasi bukan berasaskan keuntungan, El Tour America.
Organisasi itu menganjurkan acara berbasikal bagi mengumpul dana untuk menyokong lebih 120 badan kebajikan lain, sekali gus menjadikan penyertaan McNulty bukan sekadar peluang meraikan kejayaan dunia, malah turut membantu usaha mengumpul dana komuniti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




