McTominay dinobat pemain terbaik Serie A

McTominay dinobat pemain terbaik Serie A

Naples: Wira Napoli, Scott McTominay dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Serie A musim ini selepas membantu kelab itu merangkul kejuaraan liga buat kali kedua dalam tempoh tiga musim.

Pemain tengah kelahiran Scotland itu menjadi tonggak penting Napoli dengan menjaringkan 12 gol dan mencipta enam bantuan gol dalam 34 penampilan, termasuk jaringan menarik menerusi sepakan gunting ketika menewaskan Cagliari 2-0 yang melancarkan pesta kejuaraan di Naples.

McTominay, 28, yang menyertai Napoli dari Manchester United, mengambil alih peranan utama dalam pasukan selepas bintang Georgia, Khvicha Kvaratskhelia berpindah ke Paris Saint Germain pada Januari lalu.

“Pengorbanan setiap pemain dalam pasukan ini luar biasa. Penyokong layak menerima kejayaan ini kerana mereka sentiasa berdiri di belakang kami sejak hari pertama. Bagi saya, untuk hadir ke sini dan alami semua ini… ia benar-benar satu mimpi jadi kenyataan,” kata McTominay kepada DAZN.

Di Naples, McTominay kini dikenali dengan gelaran mesra ‘McFratm’ dalam kalangan penyokong gabungan namanya dan perkataan Neapolitan ‘Fratm’ yang bermaksud ‘abang’ atau ‘kawan rapat’.

“Bahasa Itali saya boleh faham, tapi nak bercakap itu masih perlukan keyakinan. Lebih mudah bila bercakap dengan orang yang langsung tak tahu bahasa Inggeris,” katanya sambil tertawa.

Tambah McTominay, dia kini sudah pandai beberapa frasa asas termasuk ‘festeggiamo, andiamo’ yang bermaksud ‘jom kita raikan’

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top