harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyokong penuh tindakan saman oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki terhadap agensi media Bloomberg.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, agensi media termasuk antarabangsa perlu menghormati prinsip undang-undang dan perlu dipertanggungjawabkan sekiranya membuat laporan berunsur fitnah atau mengelirukan.
Menurutnya, kebebasan media datang dengan tanggungjawab kewartawanan yang tinggi termasuk kewajipan semakan fakta, pengesahan silang sumber dan pelaporan yang seimbang.
“Media antarabangsa tidak terkecuali daripada prinsip ini. Media harus lebih adil dan berhati-hati agar tidak diperalat oleh mana-mana pihak berkepentingan untuk membentuk naratif yang belum dibuktikan.
“Jika benar laporan itu mengandungi elemen tidak tepat, mengelirukan atau berat sebelah maka tindakan saman adalah langkah sah dan profesional untuk membolehkan mahkamah menentukan kebenaran.
“Dalam negara hukum, tuduhan tidak boleh dijadikan hukuman tanpa proses perundangan yang adil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, MCW sentiasa memperjuangkan integriti dan kebenaran berasaskan fakta, dan berpendapat setiap individu berhak mempertahankan reputasi serta maruahnya melalui saluran undang-undang sekiranya merasakan diri difitnah atau dilaporkan secara tidak adil.
Katanya, Azam sebagai pihak yang dituduh dalam laporan berita terbabit berhak mengambil tindakan saman sebagai individu dan ia bukan satu bentuk intimidasi ataupun penindasan ke atas kebebasan media.
“Menggunakan saluran mahkamah adalah pendekatan bertamadun dalam menyelesaikan pertikaian fakta dan reputasi, pada masa sama, MCW konsisten bahawa integriti institusi penguatkuasaan mesti dipertahankan.
“Tuduhan yang tidak berasaskan fakta dan disensasikan boleh memberi kesan negatif terhadap keyakinan rakyat serta pelabur antarabangsa terhadap sistem pentadbiran negara,” katanya.
Jais berkata, semua pihak perlu menghormati proses perundangan dan meminta tidak membuat sebarang spekulasi yang mengganggu perjalanan keadilan.
Katanya, MCW akan terus teguh mempertahankan integriti institusi dalam usaha memastikan perjuangan memerangi rasuah tidak dilemahkan oleh naratif yang tidak dibuktikan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




