Kuala Lumpur : Transformasi digital Malaysia terus memperlihatkan momentum yang kukuh apabila Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mempergiat usaha memperkasa inovator tempatan melalui kerjasama strategik serta akses kepada alternatif pembiayaan.
Salah satu kejayaan baharu yang muncul daripada ekosistem digital Malaysia ialah WAHDAH Technologies Sdn Bhd (WAHDAH) iaitu syarikat mobiliti dan teknologi pelancongan tempatan yang menghubungkan sektor mobiliti, automotif serta pelancongan menerusi platform digital bersepadu.
MDEC memainkan peranan penting dalam perjalanan WAHDAH dengan memudah cara keterlihatan dalam ekosistem, menyediakan akses pasaran serta membolehkan penyertaan dalam program strategik penerapan digital.
Inisiatif ini memperkukuh keupayaan teknologi WAHDAH, mempercepat evolusi model perniagaan serta menyokong trajektori pertumbuhan serantau syarikat berkenaan.
Pengumuman ini dibuat pada waktu signifikan ketika Malaysia memperkukuh agenda pendigitalan negara di bawah Malaysia Digital (MD) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), khususnya dalam bidang keutamaan seperti mobiliti digital, teknologi pelancongan dan inovasi berasaskan platform.
Kerjasama antara MDEC, Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) dan WAHDAH turut memperkukuh aspirasi AI Nation 2030 melalui pembangunan penyelesaian mobiliti berasaskan data, kecerdasan pengurusan kumpulan kenderaan serta perdagangan digital rentas sempadan.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, MDEC kekal komited memperkasa inovator Malaysia berpotensi tinggi bagi mempercepat penerapan digital dan pengembangan serantau.
Katanya, kerjasama bersama MDV itu mengukuhkan keutamaan nasional di bawah MD, RMK12 dan AI Nation 2030 dengan menyokong platform mobiliti berasaskan data, memperkukuh model perniagaan digital terlebih dahulu serta membuka laluan untuk syarikat teknologi tempatan berkembang ke seluruh Asia Tenggara.
“Mengiktiraf potensi WAHDAH sebagai peneraju inovasi dalam landskap mobiliti digital Malaysia, MDV yang juga anak syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) meluluskan kemudahan pembiayaan bernilai RM2.5 juta bagi menyokong misi syarikat itu.
“Model pembiayaan MDV menyokong keperluan modal kerja WAHDAH untuk mengekalkan pertumbuhan perniagaan serta memperkukuh kapasiti operasi.” katanya.
Justeru, MDEC dan MDV merintis laluan pertumbuhan jelas untuk WAHDAH, menyokong penskalaan syarikat serta meletakkan WAHDAH ke arah pertumbuhan hasil unjuran kumulatif sebanyak RM40 juta.
WAHDAH adalah syarikat ekosistem mobiliti yang menghubungkan dunia automotif dan pelancongan di Malaysia, Indonesia dan Singapura melalui hab fizikal serta platform digital.
Beroperasi di seluruh wilayah ekonomi utama Malaysia, WAHDAH disokong oleh hampir 100 pekerja dengan titik sentuhan fizikal di seluruh negara termasuk Langkawi, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh, Melaka dan Johor Bahru.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Rizal Fauzi berkata, WAHDAH menunjukkan potensi dan keupayaan kukuh untuk berkembang melangkaui sempadan Malaysia.
Katanya, MDV yakin dengan sokongan pembiayaan yang tepat, syarikat itu akan terus berkembang serta memberi impak kepada ekosistem digital yang lebih luas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




