PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sedang melaksanakan Inisiatif E-Invois Kebangsaan iaitu satu usaha untuk memacu kebolehoperasian dan penyelarasan format e-Invois dalam usaha pendigitalan perniagaan di Malaysia.
Inisiatif e-Invois Kebangsaan merujuk kepada penghantaran invois daripada penjual kepada pembeli dalam format elektronik yang berstruktur.
Inisiatif ini akan menyeragamkan format dan spesifikasi teknikal invois bagi membolehkan penghantaran dan penerimaan invois berlaku dari sistem ke sistem di antara perniagaan (B2B).
Inisiatif ini diperkenalkan bagi menangani cabaran dalam pengurusan invois secara tradisional.
Mekanisme seperti pengisian data secara manual, memerlukan tenaga kerja yang ramai dan masa yang lebih lama malah ia terdedah kepada kesilapan ketika mengendalikan menyebabkan ia sukar untuk dikesan.
Perniagaan yang menggunakan e-Invois akan menerima pelbagai manfaat, terutama menyelaraskan proses invois dengan lebih efisien, mengurangkan kos pentadbiran dan pengurusan malah dapat meningkatkan kecekapan operasi perniagaan.
Penggunaan e-Invois akan memudahkan maklumat diakses menggunakan perisian perakaunan masing-masing pada bila-bila masa sekali gus dapat menjimatkan masa.
Selain dari itu, e-Invois juga dapat mengurangkan kos pematuhan cukai serta menggalakkan transaksi rentas sempadan.
Inisiatif ini juga dapat meningkatkan keselamatan dengan penghantaran data penyulitan.
Inisiatif E-Invois Kebangsaan adalah projek Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang diperkenalkan seiring dengan Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan (NESR) 2.0 dan Program Mangkin Malaysia Digital (PEMANGKIN) di bawah sektor Perdagangan Digital (Digital Trade) seliaan MDEC.
Inisiatif E-Invois Kebangsaan ini menggunakan kerangka Peppol, iaitu kerangka yang digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa.
Baru-baru ini, MDEC telah dilantik sebagai Pihak Berkuasa Peppol Malaysia yang bertanggungjawab untuk mengakreditasi penyedia perkhidmatan dan penyelesaian bagi menetapkan piawaian teknikal, pematuhan kerangka serta menggalakkan penggunaan e-Invois dalam kalangan perniagaan di Malaysia.
Usaha ini juga akan melengkapkan ekosistem e-Invois negara dan menyokong pelaksanaan e-Invois bagi tujuan pematuhan cukai yang sedang dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL).
Barisan panel jemputan bertukar pandangan dan idea pada sesi perbincangan bertajuk ‘A Vision for Interoperability: E-invoicing and its Potential in Digital Trade’ ketika berlangsungnya di Ekspo Digital Malaysia (MDX) 2023 anjuran MDEC di MITEC pada 6 November 2023.
e-Invois tingkat daya persaingan
Hari ini, masih banyak lagi perniagaan di Malaysia yang menghantar dan menerima invois menggunakan kertas dan dalam format PDF.
Dengan mengguna pakai e-Invois, perniagaan tempatan boleh menyelaraskan operasi perniagaan mereka malah dapat meningkatkan daya persaingan di peringkat global.
Inisiatif E-Invois Kebangsaan adalah usaha bagi menyokong perniagaan memenuhi komitmen amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang boleh menyumbang kepada kelestarian hutan serta persekitaran.
Oleh itu, semua perniagaan digalakkan memanfaatkan inisiatif ini dengan mengguna pakai e-Invois agar dapat mendigitalkan operasi perniagaan sepenuhnya.
Untuk maklumat lanjut, layari https://mdec.my/national-einvoicing.
© New Straits Times Press (M) Bhd




