Medan pertempuran Marcos Jr- Sara Duterte

Medan pertempuran Marcos Jr- Sara Duterte

MANILA – Rakyat Filipina keluar mengundi pada pilihan raya separuh penggal yang berlangsung pada Isnin dan dilihat sebagai medan pertarungan politik terbesar antara Presiden Ferdinand Marcos Jr dan Naib Presiden, Sara Duterte.

Kedua-duanya merupakan nama besar dalam dunia politik negara itu yang sebelum ini pernah bergabung tetapi kini bertelagah secara terbuka.

Walaupun kedua-duanya tidak bertanding, mereka aktif berkempen untuk barisan calon masing-masing.

Lebih 18,000 jawatan termasuk gabenor, datuk bandar dan ahli Dewan Perwakilan menjadi rebutan, tetapi tumpuan utama adalah 12 kerusi di Dewan Senat, satu badan perundangan penting yang memiliki kuasa untuk menggubal undang-undang dan menentukan kelangsungan politik pemimpin negara.

Pertarungan itu bukan sekadar soal pengaruh politik biasa. Ia menjadi referendum tidak rasmi terhadap kepimpinan Marcos Jr dan pada masa sama, ‘medan hidup mati politik’ buat Sara yang kini berdepan proses pemecatan serta kemungkinan berdepan larangan menyertai politik seumur hidup.

Menurut Profesor Dr Aries Arugay di Universiti Filipina, perjuangan utama pada pilihan raya itu tertumpu kepada Senat.

“Jika Marcos Jr gagal mengekalkan majoriti atau membentuk majoriti besar, agenda dasar dan ekonomi beliau boleh terhenti,” ujarnya

Pergolakan Dinasti

Kerjasama Marcos Jr- Sara yang memenangi Pilihan Raya 2022 kini tinggal sejarah.

Hubungan mereka bertukar menjadi pertelingkahan selepas tuduhan terhadap anak bekas Presiden Rodrigo Duterte mengenai salah guna dana, kekayaan tidak dapat dijelaskan dan ancaman terhadap Marcos Jr dan keluarganya.

Provokasi melampau wanita itu mencetuskan tindakan tegas untuk memecat beliau daripada jawatan Naib Presiden.

Senat bagaimanapun memainkan peranan penting dalam proses itu. Sekurang-kurangnya 16 daripada 24 senator perlu menyokong pemecatan beliau.

Oleh itu, keputusan pilihan raya tersebut bakal menentukan sama ada Duterte dapat bertahan atau disingkirkan sepenuhnya daripada dunia politik Filipina.

Isu kedaulatan dan sokongan awam

Pertelingkahan dua tokoh ini turut dipanaskan dengan isu geopolitik dan nasionalisme.

Marcos Jr menampilkan dirinya sebagai pemimpin yang mempertahankan kedaulatan Filipina, khususnya dalam menghadapi provokasi Beijing di Laut China Selatan. Beliau menggunakan isu itu untuk menarik sokongan pengundi dan menegaskan kejayaan ekonominya.

Sebaliknya, Sara menuduh Marcos Jr ‘menjual’ kedaulatan negara apabila membenarkan bapanya diserahkan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Bekas Presiden itu kini ditahan di Belanda atas dakwaan jenayah perang melibatkan ribuan kematian di bawah kempen dadah dilancarkan pentadbiran beliau.

Meskipun berdepan tuduhan itu, beliau tetap bertanding sebagai calon Datuk Bandar Davao yang merupakan kampung halamannya yang jelas menunjukkan pengaruh keluarga Duterte masih kuat dalam kalangan penyokong setia mereka.

Arah Tuju Politik 2028

Pilihan raya tersebut juga menjadi penentu kepada siapa yang bakal menguasai pentas politik menjelang Pilihan Raya Presiden 2028.

Marcos Jr, ia adalah peluang mempersiapkan penggantinya, manakala bagi Sara, ia mungkin menjadi peluang terakhir untuk mengekalkan legasi keluarganya.

Pilihan raya separuh penggal kali ini bukan sekadar pengisian kekosongan jawatan kerana ia menjadi gelanggang utama yang akan menentukan masa depan dua dinasti paling berkuasa di Filipina. – Agensi

INFO

>Seramai 12 orang senator akan dipilih bersama 12 lagi yang sedia ada yang akan bertindak sebagai juri dalam perbicaraan pemecatan dijadualkan berlangsung pada Julai depan.

>Pemilihan itu dianggap sebagai referendum tidak rasmi terhadap populariti pentadbiran Marcos Jr. Keputusan terutamanya dalam pemilihan Senat akan menentukan keseimbangan kuasa politik dan mempengaruhi dasar negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Scroll to Top