hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Landskap kewartawanan negara sudah berubah dengan kewujudan media baharu sehingga menyebabkan berita tidak benar tersebar luas.
Penerima Anugerah Intan pada Malam Anugerah dan Sambutan Jubli Intan Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC), PC Shivadas, 83, berkata, pelbagai pihak perlu menggalas tanggungjawab bagi memastikan setiap laporan atau berita dibuat adalah sahih.
Bekas Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) itu berkata, tanggungjawab melaporkan sesuatu yang benar dan tepat bukan hanya terletak pada organisasi berita tetapi menjadi tanggungjawab wartawan itu sendiri.
“Malah pembaca juga perlu mengambil tanggungjawab dengan menapis terlebih dahulu berita yang diterima.
“Saya berada di dalam industri bermula pada tahun 1963 dan melihat pelbagai perubahan dalam industri kewartawanan hingga menyebabkan landskapnya berubah,” katanya yang ditemui pada majlis itu yang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec), di sini, hari ini.
Antara tetamu kenamaan yang hadir adalah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.
Hadir sama, Presiden NPC, Datuk Ahirudin Attan dan Naib Presiden NPC yang juga Pengerusi Penganjur Anugerah NPC – Jubli Intan, Farrah Naz Karim.
Selain Anugerah Intan, tiga lagi anugerah turut disampaikan iaitu Anugerah Presiden NPC, Anugerah Media Termasyhur dan Anugerah Dedikasi Sepanjang Hayat kepada Kewartawanan.
Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican, 67, yang menerima Anugerah Dedikasi Sepanjang Hayat kepada Kewartawanan menyifatkan pengiktirafan yang diterima bukan untuk dirinya semata, tetapi buat segenap pemegang taruh dalam industri kewartawanan.
Beliau yang kini mengajar di Institut Pemikiran Islamik dan Ketamadunan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-UIAM) berkata, golongan akademik sepertinya banyak memberi sumbangan dalam industri.
“Saya terlibat bukan hanya mengajar tapi menyelia dan terbabit dalam profesion kewartawanan itu sendiri sebagai penulis kolumnis, pelatih dan terlibat sama dalam Institut Akhbar Malaysia, bekerjasama dengan profesion kewartawanan.
“Saya lihat ini sebagai satu pengiktirafan bukan hanya kepada wartawan tetapi juga kepada golongan akademik daripada universiti yang terlibat sama dalam memajukan profesion, membentuk kokurikulum dan memberikan idea untuk profesion itu.
“Ia penting sebagai satu institusi, budaya dan kegiatan intelektual. Ini perlu dikembalikan,” katanya yang lebih 38 tahun berkecimpung dalam dalam dunia pendidikan dan kewartawanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



