Media berperanan jayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan

Media berperanan jayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan

bhnews@bh.com.my

PUTRAJAYA: Pengamal media disaran memainkan peranan penting dalam menyampaikan berita mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pemberian vaksin yang sedang giat dijalankan di seluruh negara adalah kaedah dalam usaha mengawal penularan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, disebabkan itu, penyampaian berita secara bertanggungjawab penting kerana ia membabitkan masa depan rakyat dan negara.

“Justeru, Kementerian Kesihatan (KKM) memohon pihak media supaya lebih berhati-hati dalam melaporkan berita berkaitan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Adalah diharapkan, pihak media dapat melaporkan berita yang tepat dan sahih serta mendapat pengesahan KKM terutamanya yang membabitkan isu sensitif.

“Pelaporan berita yang tidak tepat apatah lagi tidak benar boleh menjejaskan kelancaran keseluruhan pelaksanaan program imunisasi.

“Diharapkan kerjasama yang baik di antara pihak media dan semua agensi yang terbabit dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dapat diteruskan bagi memastikan kejayaan program ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut menghargai peranan yang dimainkan oleh pihak media dalam menangani pelbagai isu, terutama sepanjang pandemik COVID-19 melanda negara ini.

“Dengan kerjasama erat di antara KKM, pihak media, dan agensi lain, perkembangan semasa COVID-19 dapat disampaikan kepada rakyat dengan cepat, tepat dan meluas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top