Media Prima Audio, Mydin dan Mapim lancar misi bantuan banjir

Media Prima Audio, Mydin dan Mapim lancar misi bantuan banjir

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Subang Jaya: Media Prima Audio (MPA) melancarkan Misi Bantuan Banjir 2024 #SuaraBantuan, inisiatif kemanusiaan bertujuan meringankan beban mangsa banjir di negeri terjejas seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, dan beberapa kawasan lain di dalam negara.

Misi itu mendapat kerjasama Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) yang turut menyumbang barangan keperluan asas serta makanan bernilai RM50,000 dan menyediakan lokasi pungutan sokongan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dalam pengurusan logistik juga pengagihan barangan bantuan ke kawasan terjejas.

Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran berkata, misi itu memberi tumpuan kepada usaha untuk mengumpul serta menyampaikan bantuan kepada komuniti yang memerlukan di lokasi terkesan.

Katanya, misi itu bermula semalam hingga 15 Disember depan di empat lokasi yang terpilih seperti Mydin Mall USJ, Subang Jaya, Mydin Seksyen 18, Shah Alam, Mydin Semenyih, dan Gudang Sentral mapim Malaysia di Sepang.

Menurut Nazri, orang ramai boleh menyumbang barangan bantuan di lokasi itu bermula 9 pagi hingga 9 malam di tiga lokasi Mydin terpilih serta di Gudang Sentral Mapim Malaysia seawal 9 pagi hingga 5 petang setiap hari sepanjang tempoh misi.

“Bila terjadinya bencana, kami sebagai radio terpanggil sebab ramai terjejas dan bila dapat panggilan, perkara pertama kita lakukan adalah ketengahkan nombor kecemasan iaitu nombor siapa patut dihubungi kerana itu tugas media.

“Sebagai pihak media, kita pun alu-alukan sesiapa untuk bekerjasama, tak kira dari mana.

“Alhamdulillah, Mydin bantu sampai hari ini dapat lancarkan misi ini,” katanya pada sidang media selepas menerima replika cek sumbangan ketika majlis pelancaran di Mydin USJ, di sini, hari ini.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin.

Hadir sama, Ketua Setiausaha mapim Malaysia, Faris Hussain.

Sementara itu, Ameer menghargai kesudian MPA dalam menjalin kerjasama dengan Mydin dan berbesar hati kerana dapat menyumbang buat mangsa banjir.

Katanya, kerjasama itu penting kerana peranan pihak media amat membantu dalam menjayakan misi agihan sumbangan buat mangsa terjejas. “Kita tak boleh buat seorang dan perlukan media supaya orang tahu mana nak menyumbang kerana ramai nak bagi sumbangan tapi takut kena ‘scam’ (tipu).

“Kita nak pastikan kepercayaan orang dan nilai tak penting, sebaliknya niat lebih utama.

“Sudah tentu kerajaan berusaha membantu namun kita pun perlu bertanggungjawab dan perlukan sokongan semua pihak,” katanya.

Orang ramai boleh menyumbang barangan bantuan bermula 9 pagi hingga 9 malam di tiga lokasi Mydin terpilih serta di Gudang Sentral Mapim Malaysia seawal jam 9 pagi hingga 5 petang setiap hari sepanjang tempoh misi.

MPA turut membuat hebahan mengenai inisiatif itu melalui siaran radio, media sosial serta membawa personaliti daripada Hot FM, Fly FM, Kool 101, Molek FM, dan Eight FM ke lapangan bagi mengajak masyarakat untuk menyumbangkan barangan keperluan bagi mangsa banjir yang terjejas di lokasi yang ditetapkan.

Maklumat dan perkembangan terbaru mengenai misi berkenaan boleh didapati menerusi media sosial rasmi hotfm976, flyfm958, kool101my, molekfm, dan eightfm881.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top