Media sosial dibanjiri video majlis Kenduri Rakyat Syed Saddiq, Bella Astillah

Media sosial dibanjiri video majlis Kenduri Rakyat Syed Saddiq, Bella Astillah

asyikin.mat@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Media sosial hari ini dibanjiri dengan video kemeriahan majlis Kenduri Rakyat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan isteri yang juga penyanyi serta pelakon, Bella Astillah.

Kehadiran luar biasa orang ramai untuk melihat sendiri majlis persandingan pasangan itu menyebabkan Yong Sheng Banquet Hall, di Jalan Bakri, Muar dan kawasan perkarangan luar dewan berkenaan begitu sesak.

Malah, pergerakan masuk Syed Saddiq dan Bella Astillah dalam dewan juga terganggu kerana keadaan menjadi tidak terkawal apabila orang ramai berhimpit-himpit untuk melihat pasangan itu lebih dekat dan bergambar bersama.

Orang ramai yang hadir bukan sahaja dari sekitar Muar, malah ada yang datang dari Singapura semata-mata untuk menyaksikan pasangan itu yang perkahwinan mereka antara paling mendapat perhatian tahun ini.

“Terima kasih YB SS (Syed Saddiq) dan BA (Bella Astillah). Dari Johor Bahru (9.30 pagi) ke Muar (12 tengah hari).

“Cenderahati dapat. Baran manusia tolak-tolak, baik muda atau tua,” komen seorang pengguna di media sosial.

Seorang lagi pengguna menyifatkan majlis itu sangat luar biasa kerana kehadiran orang ramai di luar jangkaan.

“Penangan kenduri rakyat, sesak sangat hinggakan pengantin pun kena berhimpit-himpit hendak masuk ke dalam dewan.

“Muka Bella nampak cemas sangat. Selamat berjaya semua,” katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq dan Bella sah bergelar suami isteri selepas diijabkabulkan dalam majlis pernikahan di Aras 118, Menara Merdeka 118, di sini, pada 10 Oktober lalu.

Pasangan itu disatukan dengan sekali lafaz oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, kira-kira jam 10.40 pagi, dengan Bella menerima mas kahwin RM500.

Pasangan berkenaan kemudian diraikan dalam majlis resepsi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, pada 18 Oktober lalu, yang menghimpunkan kira-kira 3,000 tetamu.

Selepas Muar, sambutan perkahwinan mereka akan diteruskan menerusi satu lagi Kenduri Rakyat di Kota Kinabalu, Sabah, pada 31 Oktober ini, iaitu negeri kelahiran Bella.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top