Media sosial 'panas', pemain Senegal sindir CAF

Media sosial 'panas', pemain Senegal sindir CAF

Dakar: Pemain Senegal meluahkan rasa tidak puas hati dengan menyindir keputusan Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) yang melucutkan gelaran Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) milik mereka.

CAF sebelum ini mengisytiharkan Maghribi sebagai juara selepas Senegal dianggap kalah susulan tindakan pemain keluar padang ketika final di Rabat pada 18 Januari lalu.

Keputusan itu mencetuskan reaksi sinis dalam kalangan pemain Senegal di media sosial.

Pemain tengah Pathe Ciss memuat naik gambar meraikan kemenangan sambil memegang trofi dengan kapsyen sinis: “Boleh tambah lagi tiga gol untuk mereka,” disertakan emoji ketawa.

Mamadou Lamine Camara pula mempersoalkan siapa yang akan datang mengambil pingat mereka selain bertanya bila perarakan kemenangan Maghribi akan diadakan.

Pertahanan Moussa Niakhate turut memuat naik gambar selepas final dengan kapsyen: “Ini bukan AI, ini realiti.”

Seorang lagi pemain, El Hadji Malick Diouf menegaskan trofi dimenangi di atas padang, bukannya melalui keputusan atas kertas.

Penyerang Boulaye Dia pula menambah: “Emosi tidak boleh dicipta, ia perlu dirasai.”

Dalam nada lebih tenang, Idrissa Gueye berkata, kenangan perlawanan itu tidak boleh dipadam.

“Kami tahu apa yang kami lalui malam itu di Rabat. Tiada siapa boleh merampasnya daripada kami,” katanya.

Terdahulu, Persekutuan Bola Sepak Senegal mengutuk keputusan CAF sebagai tidak adil, luar biasa dan tidak boleh diterima.

Kerajaan Senegal turut menggesa siasatan antarabangsa bebas dijalankan terhadap badan induk bola sepak Afrika itu.

Sementara itu, Persekutuan Bola Sepak Diraja Maghribi memaklumkan rayuan dibuat bagi memastikan peraturan pertandingan dipatuhi, manakala CAF masih belum memberikan sebarang komen lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top