Media sosial promosi khidmat

Media sosial promosi khidmat

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Terdapat sindiket menawarkan rawatan kosmetik secara haram yang didalangi warga asing dikesan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, sindiket berkenaan menggunakan media sosial sebagai platform mempromosikan rawatan kosmetik dan kecantikan.

“Ada sindiket (warga asing) yang membawa masuk produk kosmetik dan kecantikan secara haram untuk dijual kepada pelanggan dalam talian menerusi ejen dengan harga serendah RM150.

“Perkhidmatan kosmetik paling banyak dikesan ditawarkan warga asing adalah pemutihan kulit wajah.

“Terdapat juga perkhidmatan lain disediakan oleh sindiket terbabit termasuk tanam benang, filler atau bahan pengisi di wajah dan buang lemak,” katanya.

Zakaria berkata, kebelakangan ini, tiada operasi dan tangkapan membabitkan klinik kosmetik haram dijalankan pihaknya.

“Terdapat satu operasi penguatkuasaan dijalankan membabitkan sindiket penjualan produk kosmetik dan kecantikan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Operasi itu dijalankan pada 25 April lalu di premis kediaman di sekitar Lembah Klang yang berjaya menahan lima individu warga Indonesia,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan rawatan atau perkhidmatan kosmetik hanya daripada pengamal bertauliah, berkelayakan dan memiliki pas serta kebenaran sah untuk bekerja di negara ini.

“Rawatan kosmetik oleh warga asing tanpa kelayakan atau permit sah bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mengundang risiko keselamatan, jangkitan serta komplikasi perubatan serius.

“Orang ramai turut digalakkan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesyaki kewujudan aktiviti rawatan kosmetik haram oleh warga asing supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top