am@hmetro.com.my
Melaka: Keadaan kesihatan kanak-kanak penghidap penyakit Biliary Atresia, Nur Asyura Medina dilaporkan semakin baik selepas menjalani pembedahan baru-baru ini, di sebuah hospital di Shanghai, China.
Bapanya, Muhammad Ikmal Haziq Mazlan, 24, berkata anak sulungnya itu menunjukkan perkembangan yang sangat positif dan doktor mengesahkan bahawa Medina kuat serta stabil.
Katanya, Medina mulai sedar sejak hari kedua selepas pembedahan dan menunjukkan tanda pemulihan yang memberangsangkan.
“Doktor mengambil keputusan untuk melakukan intubasi pada hari kedua kerana bacaan kesihatannya menunjukkan keadaan yang stabil dan positif,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Meskipun belum dapat bertemu Medina yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) sejak lima hari lalu, Muhammad Ikmal dan isteri lega apabila doktor memaklumkan bayinya tidak menangis sepanjang tempoh berada di ICU.
Katanya lagi, dia sudah dibenarkan keluar wad selepas memindahkan sebahagian hati untuk anaknya, Rabu lalu.
“Kami tidak pasti berapa lama Medina perlu berada di ICU. Segala keputusan bergantung sepenuhnya kepada doktor dan apabila mereka yakin keadaan Medina benar-benar stabil, barulah kami dimaklumkan,” katanya.
Keluarga Medina berharap rakyat Malaysia terus mendoakan kesihatan anak mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd



