Dubai: Pemain Rusia, Daniil Medvedev merangkul gelaran Terbuka Dubai buat kali kedua selepas lawannya dari Belanda, Tallon Griekspoor menarik diri akibat kecederaan hamstring kiri menjelang aksi final, semalam.
Griekspoor mengalami kecederaan itu ketika aksi separuh akhir menentang Andrey Rublev, Jumaat lalu dan gagal pulih sepenuhnya untuk turun beraksi dalam perlawanan penentuan kejuaraan.
Penganjur kejohanan mengesahkan pemain Belanda itu tidak cergas untuk beraksi selepas menjalani pemeriksaan perubatan sekali gus menghadiahkan kemenangan kepada Medvedev.
Griekspoor turut memaklumkan di media sosial bahawa dia mungkin terpaksa berehat selama beberapa minggu bagi memberi ruang kepada kecederaannya pulih sepenuhnya.
Menurut Medvedev, dia sudah menjangkakan kemungkinan lawannya itu tidak dapat beraksi selepas melihat keadaan fizikal Griekspoor sebaik tamat aksi separuh akhir.
Katanya, walaupun kecewa kerana tidak dapat beraksi di final, dia tetap berpuas hati dengan prestasinya sepanjang kejohanan itu.
“Saya bermain dengan baik dalam empat perlawanan sebelum ini dan sangat menantikan final, tetapi inilah lumrah sukan dan saya tetap gembira muncul juara,” katanya.
Kejayaan itu menyaksikan Medvedev mempertahankan rekod uniknya apabila sebelum ini dia memenangi 22 gelaran di 22 kejohanan berbeza sebelum mengulangi kejayaan di Dubai selepas turut muncul juara pada 2023.
Sementara itu, Medvedev mengakui masih belum pasti sama ada dapat beraksi pada kejohanan ATP 1000 di Indian Wells, Amerika Syarikat minggu depan.
Situasi keselamatan di rantau Teluk menjejaskan perancangan perjalanan pemain selepas beberapa ruang udara ditutup susulan ketegangan membabitkan Iran, Amerika Syarikat dan Israel.
Lapangan terbang di Dubai juga dilaporkan menggantung operasi penerbangan buat sementara waktu menyebabkan pemain terpaksa menunggu perkembangan lanjut sebelum berlepas ke Amerika Syarikat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




