firdaushashim@hmetro.com.my
Subang Jaya: Pasukan boling dari Meja Sukan Harian Metro berjaya meraih tempat keempat Kejohanan Tenpin Boling Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) 2023 yang berlangsung di Sunway Piramid, di sini, hari ini.
Saingan yang berjaya menarik penyertaan seramai 108 peserta daripada 27 pasukan itu menyaksikan Meja Sukan Harian Metro mengumpul 976 jatuhan pin untuk menamatkan kedudukan di tangga keempat keseluruhan.
Juara diraih pasukan Institut Sukan Negara (ISN) dengan 1,049 jatuhan pin, manakala pasukan Majlis Sukan Negara (MSN) di tempat kedua (1,026 jatuhan pin) diikuti The Star di tangga ketiga (1,008 jatuhan pin).
Kesemua pemenang menerima hadiah wang tunai dan hamper yang disampaikan Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.
Presiden SAM, Norismadi Abdul Manap berkata, kejohanan itu berjaya mencapai objektif penganjuran untuk mengumpulkan dan mengeratkan silaturrahim antara pengamal-pengamal media sukan di Malaysia.
“Tujuan penganjuran kejohanan ini lebih kepada berkumpul dan melakukan aktiviti bersama semua media sukan dan ahli-ahli SAM.
“Kejohanan ini juga diharapkan dapat mengukuhkan kerjasama yang baik antara pengamal media dengan Yakeb. Peranan media amat penting untuk membantu menyalurkan maklumat kepada umum,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



