Mejar dilaporkan hilang

Mejar dilaporkan hilang

Kuala Lumpur: Seorang pegawai tentera, Mejar Mohd Zainudin Ishak, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya, malam Ahad lalu.

Mohd Zainudin dikatakan hilang setelah kali terakhir dilihat menaiki sebuah Perodua Ativa dengan nombor plat kenderaan, VGU 3986, pada 7 malam.

Perkara itu dikongsikan dalam status tular semalam yang dimuat naik seorang pemilik Facebook, Abu Mikhail Mohd Fauzi, meminta bantuan orang ramai untuk mengesan abang iparnya yang dilaporkan hilang.

“Warna badan kereta merah, bumbung kenderaan warna putih.

“Hilang tanpa dapat dikesan hingga sekarang. Mohon hebahan.

“Orang ramai mempunyai maklumat boleh berhubung dengan isteri melalui talian 012-4493952 atau balai polis berdekatan,” katanya.

Sementara itu, polis mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan Mohd Zainudin selepas didapati tidak hadir bertugas di Kem Wardieburn, Setapak, di sini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan mengenai perkara itu daripada seorang pegawai Kem Wardieburn, 7.08 malam kelmarin di Balai Polis Jalan Tun Razak.

“Laporan dibuat susulan pegawai (Mohd Zainudin) dikesan tidak hadir bertugas.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai orang hilang (OH),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top