Mek Yun Cuba Berpuasa Penuh, Anggap Tak Salah Orang Bukan Islam ‘Meraikan’ Ramadan – “Asalkan Tak Langgar Akidah”

Mek Yun Cuba Berpuasa Penuh, Anggap Tak Salah Orang Bukan Islam ‘Meraikan’ Ramadan – “Asalkan Tak Langgar Akidah”

Pempengaruh media sosial, Mek Yun berkongsi pengalamannya mencuba untuk berpuasa sepanjang bulan Ramadan walaupun dirinya bukan beragama Islam.

Menurut pemilik nama lengkap, Wee Yun Nee, 29, meskipun tidak berpuasa penuh seperti mana umat Islam lain, namun dia dan keluarga cuba untuk merasai pengalaman tersebut bersama-sama.

“Jujur saya tidak berpuasa setiap hari. Saya tak berpuasa banyak hari macam abang saya (Abe Wee).

“Tapi saya ada cuba juga, macam contohnya hari pertama puasa saya berpuasa dengan mak dan ayah. Ada juga hari-hari yang lain saya cuba,” katanya.

Tambahnya, setakat ini dia sudah mencuba berpuasa sebanyak tiga kali, namun kesibukan kerja membuatkan dia belum dapat melakukannya secara konsisten.

“Setakat ni saya cuba tiga kali. Mungkin sebab saya sibuk, jadi belum ada semangat yang betul-betul kuat lagi untuk berpuasa sambil bekerja.

“Harapnya nantilah, sebab masih ada lagi masa untuk saya cuba,” kongsinya.

Dalam masa sama, Mek Yun berpendapat tidak menjadi kesalahan bagi individu bukan Islam untuk mencuba berpuasa atau merasai suasana Ramadan selagi mereka menghormati batas agama.

“Bagi saya tidak salah untuk seorang yang bukan beragama Islam nak cuba berpuasa, asalkan kita tidak melanggar akidah orang Islam.

“Itu yang saya percaya. Saya juga ada keluarga yang beragama Islam di Kelantan,” ujarnya.

 

Mek Yun berkata demikian ketika ditemui pada program Melodi Glam Raya Runaway yang berlangsung di Stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX) pada Rabu.

Dalam perkembangan lain, Mek Yun memaklumkan, dia kini memberi fokus kepada kerjaya sebagai pencipta kandungan dek kerana belum menerima sebarang tawaran untuk berlakon drama mahupun filem.

“Penyokong saya pula, mereka sangat menghormati apa yang saya buat dan mereka sangat menyokong.

“Belum ada rezeki atau tawaran untuk berlakon dan sekarang memang saya fokus kepada kempen dan kerjaya saya sebagai pencipta kandungan.

“Jadi saya sangat hormat sebenarnya pelakon-pelakon dekat luar sana, sebab saya pernah cuba, dan susah sebenarnya,” tambahnya.

Sekadar info, Melodi Glam Raya Runway menjadi tumpuan ramai apabila pertunjukan fesyen unik di dalam tren MRT menghidupkan suasana sepanjang perjalanan dari Stesen MRT Bandar Utama hingga ke Tun Razak Exchange (TRX).

Kemeriahan acara bermula di Stesen MRT Bandar Utama dengan persembahan flash mob yang diterajui oleh bakat One In A Million (OIAM) iaitu Marygrace, Kai Deva, Jimi dan Mariam.

Kemeriahan acara mencapai kemuncaknya di Stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX), apabila tumpuan beralih ke pentas utama yang berlangsung di aras concourse stesen tersebut.

Scroll to Top